THE MALAYSIAN TIMES
KUALA LUMPUR:
PAS memandang serius isi penindasan kaum Rohingnya yang berlaku di
Myanmar apabila nyawa mereka terancam dek kerakusan regim Myanmar dan
pelampau Buddha Rakhine yang tidak berperikemanusian.
Dalam satu kenyataan, Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang
berkata, serangan yang dilakukan membunuh etnik Rohingnya tanpa mengira
jantina, tempat tinggal yang menjadi tempat untuk mereka berteduh juga
dibakar malah nyawa mereka menjadi taruhan setiap masa.
“Terbarunya serangan di perkampungan Maungdaw Buthidaung dan
Rathidung di Myanmar telah membunuh lebih kurang 500 orang tanpa mengira
lelaki, perempuan, orang tua mahupun kanak-kanak, rumah-rumah dibakar
dan jumlah ini semakin meningkat.
“Kini mereka menderita tanpa tempat tinggal dan mereka tidak
mempunyai tempat untuk pergi. Mereka terpaksa menjadi pelarian dalam
negara sendiri. Nyawa mereka diancam setiap masa dengan tujuan mereka
dihapuskan dari peta Myanmar,” katanya.
Menurutnya, masyarakat perlu sedar dan mengambil tindakan diatas
penindasan tersebut dimana ianya merupakan isu kemanusiaan apabila nyawa
mereka menjadi ancaman dan ini jelas memperlihatkan penghapusan etnik
masyrakat Islam.
“Masyarakat dunia perlu sedar dan bangkit bahawa isu penindasan
rakyat Rohingya adalah isu kemanusiaan, dibelakangnya tersingkap
beberapa isu yang melatari jalan cerita.
“Isu hak asasi manusia, diskriminasi kelompok majoriti terhadap
kelompok minoriti, penghapusan etnik masyarakat Islam, kisah kegagalan
organisasi-organisasi antarabangsa dan serantau dalam menyelesaikannya,
kisah keganasan pihak tentera dan sifat tidak bertamadun masyarakat
moden dalam melakukan penindasan sesama manusia.
“Perhatian bangsa dunia amat diperlukan,” ujarnya.
Sehubungan itu, katanya, negara-negara yang menandatangani Piagam
Hak Asasi Manusia, persatuan-persatuan dan negara Islam serta Malaysia
perlu mengambil langkah proaktif memberi amaran kepada kerajaan Myanmar.
“Negara-negara yang menandatangi Piagam Hak Asasi Manusia, Piagam
Geneva, negara-negara ASEAN, PBB, negara-negara Islam OIC, negara Islam
Serantau dan semua pejuang hak asasi manusia perlu berganding bahu
memberi amaran kepada kerajaan Myanmar yang melanggar hak asasi manusia
dan menafikan hak kerakyatan masyarakat Rohingya.
“Kerajaan Malaysia wajib bekerjasama dan bertindak lebih proaktif
dengan negara-negara lain, parti-parti politik, NGO-NGO dan agensi
antarabangsa bukan sahaja menghantar misi kemanusiaan, bahkan semestinya
memberi tekanan politik kepada kerajaan Myanmar agar menghormati hak
kemanusiaan. Kuasa politik amat penting untuk menghentikan penindasan
ini.
Mengulas lanjut, orang Islam mahupun bukan Islam saling memerlukan
dan menjadi asas kepada keharomian sesebuah pemerintahan Islam.
“Islam lebih mendahului dalam menjaga hak orang Islam dan bukan
Islam serta pelarian negara asing yang hidup bermasyarakat majmuk dalam
negara Islam.
“Pembinaan Masyarakat Madani yang saling memerlukan di antara satu
bangsa dengan bangsa lain, satu kaum dengan kaum lain menjadi asas
keharmoniaan di bawah pemerintahan Islam dengan mendahulukan perdamaian
dan mengambil langkah diplomatik dan diplomasi.
“Sehingga kedatangan Islam ke negara lain dikira penyelamat bukannya penjajah,” katanya.
Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Justeru itu, PAS
tidak mahu terus berdiam diri melihat kezaliman yang tiada titik noktah
ini, lalu bertindak untuk menghantar misi kemanusiaan untuk berunding.
“PAS akan menghantar misi kemanusiaan melalui PASRelief dan NGO-NGO
dan berunding dengan pihak kerajaan dan agensi antarabangsa untuk
menghentikan kezaliman yang tidak bertamadun ini dengan kembali ke meja
rundingan.
“Saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia dan masyarakat
antarabangsa, marilah kita bersatu dan berganding bahu atas dasar
kemanusiaan. Marilah kita mendesak kerajaan Myanmar agar menerima
kerakyatan masyarakat Rohingya dan menyelesaikan konflik ini secara aman
dan damai,” jelasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan