PUTRAJAYA: Rayuan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan dua lagi ditolak
Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang
membatalkan saman mereka terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak yang
didakwa melakukan salah laku dalam pentadbirannya berhubung kes
1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Panel tiga hakim diketuai oleh Tan Sri Idrus Harun sebulat suara
mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi setelah bersetuju dengan hujahan
peguam, Tan Sri Cecil Abraham yang mewakili Perdana Menteri bahawa Najib
tidak boleh disaman dengan alasan beliau adalah seorang anggota
pentadbiran Persekutuan dan bukannya penjawat awam.
Mahkamah turut memerintahkan Dr. Mahathir bersama dua lagi perayu
iaitu bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin
Abu Hassan dan bekas ahli Wanita Umno Langkawi, Anina Saadudin membayar
kos RM30,000 kepada Najib.
Dalam saman yang difailkan pada 23 Mac lalu, mereka mendakwa Najib
sengaja mengganggu siasatan berhubung 1MDB dan syarikat berkaitan, serta
siasatan aliran masuk wang RM2.6 bilion dan RM42 juta daripada SRC
International ke dalam akaun peribadinya.
Plaintif mendakwa Najib menggunakan kedudukannya sebagai Perdana
Menteri, Pengerusi BN dan Presiden Umno bagi melakukan salah laku
kewangan berhubung 1MDB dan syarikat berkaitan serta siasatan aliran
masuk RM2.6 bilion dan RM42 juta dari SRC International ke dalam akaun
peribadinya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan