Ia sebahagian daripada sumbangan RM112,000 yang berjaya dikutip parti itu pada majlis makan malam amal.
KUALA LUMPUR: Makan malam amal dianjurkan PPBM malam tadi menyaksikan beberapa barangan peribadi pemimpinnya dijual untuk membantu dana parti itu.
Sejumlah RM122,000 berjaya dikutip pada majlis yang turut dihadiri Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad, di Restoran Nelayan di sini.
Daripada jumlah itu, RM16,400 dikutip melalui jualan pelbagai barangan peribadi termasuk “bush jacket” yang sering menjadi pilihan Dr Mahathir sepanjang memegang jawatan perdana menteri.
Pakaian itu dijual pada harga RM5,000, sementara tali leher Dr Mahathir berjenama Gucci pula dibeli seorang ahli PPBM pada harga RM2,300.
Timbalan Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin juga menjadi penyumbang pada majlis semalam apabila melepaskan kemeja batik yang kerap dipakainya pada majlis rasmi ketika menjawat timbalan perdana menteri dulu. Ia berjaya dijual pada harga RM1,600.
Sementara sebuah beg berjenama Hugo yang mempunyai tanda tangan Muhyiddin mencecah harga RM2,000.
Seorang lagi pemimpin PPBM, bekas menteri besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir, menyerahkan pena berjenama Mont Blanc pada harga RM3,000, dan kain songketnya pada harga RM2,500.
Sementara itu, Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata partinya akan mengadakan jelajah seluruh negara menganjurkan ceramah dalam format forum Transformasi Nasional 2050 (TN50).
Forus itu diberi nama “Bicara Wawasan 2020” dan dilancarkan pada majlis sama malam tadi, sempena Wawasan 2020 yang diilhamkan Dr Mahathir sebagai sasaran Malaysia menjadi negara maju.
“Pandangan yang kita terima melalui Bicara Wawasan 2020 akan dijadikan dasar dan akan dilaksanakan menjelang 2020 setelah mengambil alih kerajaan,” katanya.
Sesi pertama program itu akan diadakan dalam masa sebulan.
Dr Mahathir sebelum ini mempersoalkan TN50 yang diilhamkan Datuk Seri Najib Razak, dan menganggap tempoh 30 tahun terlalu lama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan