Rabu, 30 Ogos 2017

60 tahun Merdeka, tetapi ruang demokrasi sempit seperti dijajah UMNO


Roketkini.com

KLANG: Sambutan Hari Kemerdekaan ke-60 esok bagaikan hilang ertinya apabila kerajaan UMNO-
Barisan Nasional (BN) menyatakan hasrat untuk mengawal kebebasan media atas talian di negara ini melalui Suruhanjaya Komunikasi dan MultImedia (SKMM).

Datuk Seri Salleh Keruak seperti dilaporkan kelmarin berkata kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan untuk mewajibkan portal berita atas talian yang mempunyai jumlah pengunjung yang tinggi untuk berdaftar dengan agensi berkenaan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan pengendali media atas talian sebelum mengambil sebarang keputusan bagi menyakinkan orang awam bahawa tidak berlaku sebarang tindakan pencabulan terhadap kebebasan media.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, adalah sukar untuk mempercayai kenyataan Salleh itu.

“Salleh patut tahu bahawa tidak ada sesiapapun yang akan termakan dengan jaminannya itu. Dan pihak kerajaan perlu diberitahu berulang kali bahawa tidak ada ertinya kebebasan jika kebebasan media itu sendiri tidak ada,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagi Charles, Sambutan 31 Ogos akan lebih bermakna jika semua rakyat Malaysia dapat merai dan merasai hak kebebasan yang dijamin setiap individu dalam sebuah masyarakat yang demokratik.

“Mengimbau semula pengalaman lepas, saya hanya nampak ruang demokrasi di negara ini semakin hari semakin menghilang, di mana pemerintah elit berterusan menentukan bagaimana kita harus berfikir, hidup dan berkasih sayang.

“Pengalaman itu memberikan saya perasaan seolah-olah dijajah semula oleh pihak penjajah yang menindas,” ujar beliau.

Kerajaan UMNO juga sebelum ini mengambil langkah terbelakang dalam aspek demokrasi apabila memperkenalkan Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 yang antara lain memberi kuasa mutlak kepada Perdana Menteri untuk mengisytiharkan darurat. – Roketkini.com


Tiada ulasan: