KELANA JAYA: Jemaah haji Malaysia diingatkan supaya menggunakan waktu
sepanjang wukuf di Arafah untuk melakukan ibadat bagi mendekatkan diri
kepada Allah SWT.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata ia
lebih bermanfaat berbanding berbual kosong, bersembang atau berpolitik.
"Gunakan waktu di Arafah ini sebaik-baiknya. Kenapa perlu tidur
sepanjang waktu rehat itu, kenapa perlu sembang atau berjalan-jalan cari
orang lain?.
"Orang politik jangan pergi khemah di sana sini cari pengundi.
Sebaik-baiknya waktu singkat sekitar enam, tujuh jam itu penuhkan dengan
ibadat seperti solat sunat, baca buku doa serta berdoalah perkara yang
baik," katanya yang dipetik BH Online.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program pelepasan jemaah
haji ke Tanah Suci di Kompleks Tabung Haji (TH) di sini yang turut
dihadiri Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, hari ini.
Pada penerbangan hari ini, seramai 483 jemaah dijadual berlepas ke
Makkah pada jam 5 petang ini dan dijangka tiba jam 9.10 malam waktu Arab
Saudi.
Ini penerbangan kedua terakhir sebelum pesawat ke-113 dijadual berlepas ke Tanah Suci, esok.
Yang turut sama dalam penerbangan petang ini, Menteri Perumahan dan
Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri
Fadillah Yusof; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul
Rahman Dahlan dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md
Hanipah.
Ia juga disertai selebriti, Hattan dan Nash Lefhanded.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, rakyat tidak sewajarnya
mempolitikkan pemberian subsidi haji oleh TH dan kerajaan Pusat kepada
semua jemaah pada setiap tahun.
"Jangan politikkan ibadat haji, jangan politikkan agama. Gunakan politik untuk memperkuatkan agama," katanya.
Beliau juga berkata, kepercayaan tinggi Raja Arab Saudi, Raja Salman
Abdulaziz Al-Saud kepada Malaysia, membolehkan pelbagai manfaat
diperoleh negara dalam urusan dan operasi haji kebelakangan ini.
Ia, katanya, termasuk kehadiran 20 pegawai Imigresen Arab Saudi ke
Malaysia bagi urusan pemeriksaan masuk ke negara itu yang kini boleh
dilakukan di sini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan