Oleh Athirah Hanapiah
SHAH ALAM: PAS tetap bertegas dengan pendirian bahawa parti itu tidak
akan lagi mengadakan rundingan kerjasama bersama PKR dalam mendepani
Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.
Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Khairuddin Aman Razali berkata,
parti pimpinan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail itu sepatutnya sudah
sedia maklum pendirian PAS itu selepas hubungan tahaluf siyasi
kedua-dua parti itu tamat pada Mei lepas.
"Tidak ada lagi sebarang rundingan kerjasama politik untuk pilihanrya
dengan mana-mana pihak kecuali menerusi Gagasan Sejahtera, termasuk atas
nama individu sekalipun selagi ia membawa imej Pakatan Harapan (PH),"
katanya menerusi aplikasi Whatsapp kepada Antarapos.
Malah katanya lagi, PAS bersama Gagasan Sejahtera (GAGASAN) sudah
bersedia untuk berdepan dan melawan Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan
Harapan (PH), sekaligus memenangi PRU14 kelak.
"Ahli dan pimpinan telah bersedia dari sudut psikologinya untuk masuk
PRU14 bersama Gagasan Sejahtera berhadapan dengan Umno atau BN. Atas
moto PAS ganti Umno dan Gagasan Sejahtera ganti BN dan PH," kata beliau
lagi.
Justeru katanya, tiada keperluan untuk PAS memaklumkan secara rasmi
kepada PKR mengenai keenggganan partinya itu untuk mengadakan rundingan
kerjasama antara mereka memandangkan ia sudah jelas.
"Kita sudah ada keputusan, ia tidak berubah dan semua telah maklum.
Jadi, tiada keperluan untuk memaklumkan secara rasmi kepada PKR," ujar
beliau.
Beliau berkata demikian mengulas tindakan PKR yang seakan masih mahu
mengadakan rundingan kerjasama bersama parti pimpinan Datuk Seri Abdul
Hadi Awang itu walaupun kerjasama antara kedua-duanya sudah terputus Mei
lalu.
Malah semalam, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali sekali lagi
memberi bayangan bahawa parti itu akan mengadakan rundingan dengan PAS
berhubung kerjasama di Selangor.
Beliau juga turut menegaskan, rundingan itu berlaku hanya antara PKR dan PAS dan tidak melibatkan Pakatan Harapan (PH).
Isu kerjasama ini kembali hangat selepas tersebarnya gambar kunjungan
beliau bersama Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail terhadap Presiden PAS
Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini.
Malah Wan Azizah juga berkata tidak menolak kemungkinan jalinan
kerjasama berikutan membawa misi yang sama dalam kalangan pembangkang
iaitu menumbangkan Umno-BN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan