Lebih 74,000 pengundi dalam kawasan Parlimen Jerai diingatkan supaya tidak lagi memberi sokongan kepada Umno-BN setelah terbukti parti itu memungkiri apa yang dijanjikan sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke 12.
Malah dengan memberi sokongan kepada Umno-BN akan menggalakkan parti pemerintah tersebut untuk terus mengkhianati segala janji-janji mereka kepada rakyat.
Demikian dinyatakan oleh Ketua Pemuda Parti Amanah Negara Kawasan Jerai Mohd Ridzwan Arshad Ahmad ketika berucap pada program 'Bangkit Anak Muda' sempena menyambut kemerdekaan negara di Sungai Limau, Yan, Kedah malam tadi.
Jelas beliau, Umno-BN Jerai yang diwakili oleh Datuk Seri Jamil Khir Baharom telah pun melaung-laungkan pelbagai janji untuk ditunaikan sejak 10 tahun yang lalu.
Namun begitu sehingga kini apa yang mereka janjikan hanyalah umpama menanam tebu di bibir semata-mata, dakwanya.
"Pengundi kawasan Jerai masih ingat bagaimana projek Sulihh yang ditukar nama kepada Zippy yang hendak dilaksanakan di Yan, menjanjikan ribuan peluang pekerjaan kepada anak Kedah, sebaliknya tidak menjadi kenyataan sejak 10 tahun yang lalu.
"Begitu juga dengan janji Umno-BN sepertimana dalam manifesto PRU ke 13 mereka untuk membina kawasan Industri Kecil Sederhana atau IKS, sebaliknya hingga kini tiada pun bayang IKS yang hendak mereka bangunkan.
"Walaupun tujuan mereka adalah untuk memberi peluang kepada penduduk tempatan, tetapi apa yang diharapkan itu hanyalah setakat janji-janji kosong yang akan berulang lagi menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 tidak lama lagi," jelasnya.
"Mereka berjanji berkali-kali kepada imam-imam masjid akan menaikkan elaun imam-imam masjid sekiranya Umno-BN menang dalam pilihan raya tersebut.
"Sebaliknya apa yang dijanjikan masih menjadi harapan menggunung yang entah bila akan menjadi realiti.
"Begitu juga dengan masalah bekalan air bersih yang belum dapat diselesaikan oleh kerajaan negeri Kedah sejak sekian lama, " ujarnya lagi.
Sehubungan itu katanya, adalah diharapkan sambutan Aidil Adha pada hari esok tidak akan mengulangi sejarah hitam semasa sambutan Aidil Fitri yang lalu apabila bekalan air terganggu begitu lama.
"Oleh kerana itu kerajaan negeri Kedah harus serius bagi memastikan janji mereka untuk melaksanakan segala janji yang dibuat menjadi kenyataan dan bukan setakat omongan kosong sahaja.
"Buktikan bahawa kerajaan negeri yang dipimpin oleh Datuk Seri Ahmad Bashah itu tidak setakat janji-janji kosong.
"Tetapi buktikan bahawa slogan BN semasa Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu 'BN menang, Kedah senang' bukan hanya janji manis, sebaliknya rakyat Kedah tetap sengsara, derita dan merana," tambahnya.
Justeru itu tegasnya rakyat Kedah mesti bangkit untuk menolak Umno dan BN serta sekutunya daripada terus memperjudikan janji-janji kosong menjelang PRU14.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan