Oleh Shuhaniza Said
KUALA LUMPUR: Tiada sebarang keistimewaan diberikan kepada anak
golongan pelarian etnik Rohingya yang dilahirkan di negara ini, demikian
menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim.
Ujar Shahidan, walaubagaimanapun semua pemegang kad Suruhanjaya Tinggi
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) termasuk daripada
etnik berkenaan diberikan akses dari segi pendidikan dan perubatan,
selain projek perintis kebenaran bekerja.
"Semua pemegang kad UNHCR termasuk Myanmar bebas bergerak, bebas
amalkan budaya dan kepercayaan agama, mendapat potongan caj di hospital
kerajaan sebanyak 50 peratus berbanding warga asing lain, dan ada akses
pendidikan swasta. Walau bagaimanapun sekiranya pemegang kad lakukan
aktiviti melanggar perundangan negara, tindakan akan diambil.
"Kerajaan tak iktiraf status pelarian etnik Rohingya ini memandangkan
Malaysia bukan negara pemihak kepada Konvensyen Pelarian 1951 dan
Protokol 1967.
"Namun demikian atas dasar kemanusiaan, kerajaan benarkan pemegang kad
UNHCR termasuk Rohingya tinggal sementara sehingga pulang negara asal
atau diletakkan di negara ketiga," katanya di dalam persidangan Dewan
Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Parlimen
Keterh, Tan Sri Annuar Musa yang meminta kerajaan menyatakan pendirian
terhadap pelarian etnik Rohingya dan keistimewaan yang diterima oleh
anak golongan berkenaan.
Dalam pada itu kata beliau, kerajaan juga tidak berhasrat untuk
melaksanakan proses asimilasi terhadap golongan tersebut kerana
mengambilkira pelbagai aspek.
"Jika laksanakan program asimilasi ni, maknanya kita ada niat untuk jadikan mereka warganegara.
"Kalau buka 'floodgate' sudah pasti lebih ramai yang nak duduk di
sini," katanya lagi namun menambah, kerajaan sedia menimbangkan pelbagai
cadangan untuk mengatasi isu berkaitan golongan berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan