Khamis, 31 Ogos 2017

Pendaftaran portal berita serangan terhadap media pra PRU14

 
 
Oleh Fahmi Fadzil 

CADANGAN untuk mewajibkan pendaftaran portal berita dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) adalah satu serangan ke atas media sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pendaftaran portal berita ini bakal bertindak sebagai “permit penerbitan” bagi media digital. Ini akan mengancam kebebasan media online kerana dipercayai portal berita yang menerbitkan berita tidak disukai atau tidak sehaluan dengan Putrajaya boleh ditutup atau dihalang akses, seperti yang pernah berlaku sebelum ini kepada The Malaysian Insider.


Oleh itu, pendaftaran portal berita melanggar semangat Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak kebebasan bersuara termasuk untuk media online khususnya portal berita.

Langkah ini akan lebih menyukarkan PKR dan Pakatan Harapan menyampaikan mesej dan maklumat kepada pengundi, memandangkan media arus perdana sedia ada juga dimiliki dan dikawal rapi Umno-BN.

Oleh itu, ini akan mengakibatkan gelanggang pertandingan PRU14 menjadi lebih tidak adil dari yang sedia ada, dan akan mengukuhkan persepsi umum PRU14 bakal menjadi pilihan raya paling kotor yang pernah kita saksikan.

Media merupakan tiang seri demokrasi, dan perlu dipertahankan dan diperkukuh – bukan dihalang sebegini rupa. – 29 Ogos, 2017.

* Fahmi Fadzil ialah pengarah komunikasi PKR.

Tiada ulasan: