IPOH: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan Polis Diraja
Malaysia (PDRM) mengharamkan penganjuran Himpunan Jerusalem's Jubilee
yang dirancang di Melaka pada 15 hingga 18 Jun ini.
Timbalan Perdana Menteri berkata, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri
Idris Haron juga dalam kenyataannya hari ini sudah menafikan memberikan
kelulusan penganjuran program berkenaan.
"Mungkin ada di kalangan kita yang tak tahu sejarah Jerusalem atau
Baitulmaqdis adalah kota suci pelbagai agama, Masjid Baitulmaqdis adalah
adalah masjid ketiga paling suci.
"Tetapi Yahudi telah cuba untuk meruntuhkan Baitulmaqdis dari bawah dan
korek asas masjid supaya mahu ia diruntuhkan dan ini sangat sensitif
dalam kalangan umat Islam.
"Hari ini kalau ada orang yang mahu merayakan ulang tahun ke-50
penjajahan Israel kepada tanah Palestin kita umat Islam tak mahu
mana-mana pihak melukai hati orang Islam di Malaysia untuk merayakan
kemenangan Isreal menjajah Palestin," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Penerapan Nilai
Murni Timbalan Perdana Menteri Bersama Warga Kementerian Dalam Negeri
Peringkat Negeri Perak, di Masjid An Nur Ulu Kinta di sini.
Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.
Ahmad Zahid berkata, apabila hati umat Islam tersentuh, terhiris apatah
lagi dilukai, beliau sebagai menteri bertanggungjawab mengarahkan ia
diharamkan dan mesej berkenaan adalah terang dan jelas.
"Saya ingin ingatkan diri saya dan semua, kita (rakyat Malaysia) hidup
dalam pelbagai agama, sunatullah meletakkan Malaysia negara pelbagai
agama pelbagai kaum, bahasa, budaya dan latar belakang berbeza.
"Tetapi tolong hormati orang Islam, agama lain boleh diamalkan tetapi
tolong hormat agama kami (Islam) terlebih dulu, untuk kami hormat agama
lain.
"Tolong hormati sensitiviti orang Islam, mana mungkin orang Palestin
yang dihalau dari negara mereka sendiri, dihalau dari Bukit Golan 50
tahun dulu, hari ini di Malaysia ada pihak yang mahu merayakannya,"
katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan