KOTA KINABALU: Tiada semakan semula tarif elektrik kepada pengguna di
Semenanjung, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan bagi tempoh enam bulan
bermula Julai hingga Disember tahun ini, kata Menteri Tenaga, Teknologi
Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.
Menurut Maximus, kerajaan turut memutuskan untuk mengekalkan rebat
tarif elektrik sebanyak 1.52 sen bagi setiap kilowatt-sejam (kWj) di
Semenanjung serta sebanyak 1.20 sen/kWj di Sabah dan Labuan.
Menurutnya, pengekalan semakan semula tarif elektrik dan jumlah rebat
itu diputuskan Jemaah Menteri pada Mesyuarat Kabinet Rabu lalu.
"Pada mesyuarat itu, Jemaah Menteri bersetuju membelanjakan sebanyak
RM1.303 bilion untuk menampung peningkatan kos bahan api dan penjanaan
bekalan elektrik kepada pengguna di Semenanjung manakala RM468 juta
subsidi khas bagi Sabah serta Labuan.
"Peruntukan RM1.303 bilion ini menggunakan Dana Hasil Rundingan Semula
Perjanjian Pembelian Tenaga dengan Penjana Kuasa Bebas Generasi Pertama
(Dana Penjimatan PPA)," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Tambah Maximus, menerusi keputusan itu, Jemaah Menteri bersetuju
memberi rebat keseluruhan kos pembekalan elektrik sebanyak 2.54 sen/kWj
di Semenanjung merangkumi surcaj bahan api sebanyak 1.02 sen/kWj dan
rebat tarif sebanyak 1.52 sen/kWj ditampung menggunakan Dana Penjimatan
PPA.
Manakala katanya, di Sabah dan Labuan, Jemaah Menteri bersetuju
mengekalkan rebat tarif elektrik sebanyak 1.20 sen/kWj dalam tempoh
sama.
"Bagi kadar tarif asas di Semenanjung dikekalkan 38.53 sen/kWj manakala Sabah dan Labuan pada 34.52 sen/kWj.
"Secara keseluruhannya, pelarasan tarif elektrik di bawah dasar kos
bahan api dan penjanaan tidak seimbang (ICPT) membolehkan pengguna
elektrik menikmati rebat sebanyak RM5.403 bilion di Semenanjung manakala
RM196.26 juta bagi Sabah dan Labuan untuk tempoh Mac 2015 hingga
Disember tahun ini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan