Selasa, 27 Jun 2017

Model serah barangan kemas AS$8.1 juta kepada DOJ

MALAYSIAKINI


Model kelahiran Australia, Miranda Kerr menyerahkan barangan kemas bernilai AS$8.1 juta kepada Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat seminggu selepas dokumen saman itu mendedahkan ahli perniagaan Malaysia, Jho Low membelinya dengan dana yang diselewengkan dari 1MDB.

Akhbar The Wall Street Journal memetik jurucakap model itu bahawa Kerr memulangkan hadiah itu Jumaat lalu kepada ejen kerajaan dari peti deposit keselamatannya di Los Angeles.

"Sejak permulaan siasatan, Miranda Kerr bekerjasama sepenuhnya dan berjanji akan menyerahkan hadiah barangan kemas itu kepada kerajaan," katanya.

"Kerr akan terus membantu siasatan dengan semampunya."

Menurut WSJ Kerr bukan defendan dalam tuntutan undang-undang itu dan DOJ enggan mengulas mengenai perkembangan terbaru itu.

Menurut akhbar itu lagi, berdasarkan kepada mereka yang rapat dengan isu itu, Kerr dan Low berpacaran selama kira-kira setahun pada tahun 2014. DOJ berkata sepanjang tempoh itu, Low menghadiahkan barangan kemas itu kepada model berkenaan.

Kerr kini berkahwin dengan Evan Spiegel, pengasas bersama aplikasi Snapchat.

DOJ dalam saman terbarunya, pada 16 Jun lalu mendakwa Low dan sekutunya Eric Tan membelanjakan AS$200 juta untuk membeli kemas.

Walaupun DOJ tidak menyenaraikan semua pembelian yang didakwa itu, ia bagaimanapun berkata, Low membelanjakan sekurang-kurangnya AS$9.9 juta untuk barang kemas untuk Miranda Kerr serta untuk ibunya sendiri.

Low juga didakwa membelanjakan AS$28.6 juta untuk barangan kemas isteri
‘Malaysian Official 1'.

Menurut DOJ, pembelian pertama yang direkodkan oleh ahli perniagaan itu yang didakwa menggunakan wang yang diselewengkan dari 1MDB bermula sejak 2012 apabila beliau membeli cincin berlian dan padanan anting-anting berlian untuk ibunya.

Bersama-sama dengan cincin pertunangan dengan "wanita yang tidak dikenali", jumlah bil Low untuk barang kemas dari Lorraine Schwartz ialah AS$2.84 juta.

Pada 5 Disember 2012, Low didakwa membayarnya menggunakan sebahagian daripada AS$1.367 bilion yang didakwa disalahgunakan dari 1MDB dalam apa yang DOJ gambarkan sebagai fasa Aabar BVI.

Ini meningkat kepada 40 peratus daripada hasil yang diperoleh melalui dua tawaran bon, didakwa telah dipindahkan kepada entiti British Virgin Islands yang dipanggil Aabar Investments PJS Limited (Aabar BVI).

Aabar BVI adalah salah satu daripada beberapa syarikat yang didakwa diwujudkan untuk memberi gambaran palsu bahawa ia adalah anak syarikat Abu Dhabi International Petroleum Investment Co (IPIC).

Wang untuk membayar barang kemas ibu Low ibu telah melalui Good Star Limited serta akaun bapa ahli perniagaan itu di Singapura.

Apabila pegawai Bank Singapura (BSI) bertanya tentang pemindahan itu kepada bapanya, Low menjelaskan bahawa ia adalah sebahagian daripada "tradisi keluarga" untuk memberi kepada ibu bapa hasil "penjanaan kekayaan yang baik."

DOJ memfailkan tuntutan undang-undang sivil bagi tahun ini dan tahun lalu dengan tujuan merampas semula aset yang dikatakan dibeli dengan wang yang diselewengkan daripada 1MDB.

Selain barangan kemas bernilai AS1.7 bilion, DOJ juga berharap mampu mendapatkan semula sebuah kapal layar bernilai AS$ 250 juta dan kepentingan beberapa syarikat dan hartanah mewah di sekitar London, New York dan Los Angeles.

Tiada ulasan: