KOTA KINABALU
– “Seorang ibu menyerahkan simpanannya yang berjumlah enam angka kepada
lelaki yang dikenali hanya melalui Internet. Puas anak-anaknya
menasihatkan jangan berikan wang itu tetapi tidak diendahkan.
Perkara
ini dikongsi seorang pegawai kanan polis kepada orang ramai yang hadir
di forum bertajuk ‘Challenges Facing The Future Cyberspace’ yang
diadakan di Universiti Malaysia Sabah sempena Borneo Cyber Security
Challenge 2017 pada April lepas.
Orang
ramai yang hadir terperanjat dan sukar untuk mempercayai seseorang itu
boleh dengan mudah tertipu seperti yang diceritakan Penolong Pengarah
Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), ACP Ahmad Nordin Ismail di
majlis berkenaan.
Hakikatnya,
meskipun forum demi forum dianjurkan untuk mewujudkan kesedaran orang
ramai mengenai pelbagai risiko siber serta jumlah penipuan yang
didedahkan oleh pihak polis dan media, saban hari masih ramai yang
menjadi mangsa kepada orang yang hanya dikenali melalui Internet.
JENAYAH LAMA DIPERMUDAHKAN TEKNOLOGI
Ahmad
Nordin menegaskan bahawa kejadian jenayah melibatkan internet sebenarnya
adalah jenayah yang wujud sekian lama cuma kali ini dilakukan dengan
pendekatan baru. Secara prinsip, apa yang salah di dunia sebenar juga
satu kesalahan di dunia maya.
Jika
diperhatikan dengan teliti, jenis jenayah yang dilakukan melalui dunia
maya sebenarnya sama dengan apa yang berlaku di dunia
nyata iaitu seperti menipu, mencuri, malah rogol dan bunuh. Penjenayah
hanya melakukan sedikit perubahan mungkin dalam cara bekerja sesuai
dengan kemajuan teknologi hari ini untuk mencari mangsa.
Kerja
mereka menjadi lebih mudah kerana tidak perlu lagi memperkenalkan diri
sebenar kerana boleh menyamar di sebalik identiti rekaan di dunia maya.
Justeru, penipuan dalam talian yang melibatkan cinta, e-dagang dan
kewangan, pornografi, berita palsu dan pelanggaran hak cipta tersebar
luas.
Laman
media sosial seperti Facebook, Instagram dan Bigo Live serta aplikasi
sembang maya seperti Whatsapp, WeChat dan Telegram menyediakan akses
tanpa had kepada mereka yang berpotensi menjadi mangsa. Selalunya wanita
mudah menjadi mangsa kepada pelbagai penipuan, kasanova dan pemangsa
seksual.
PENIPUAN MERUGIKAN MANGSA
Walaupun
setelah forum berkenaan dianjurkan pada April lepas, tidak ada tanda
jumlah jenayah siber berkurangan. Nyata sekali ramai rakyat Malaysia
masih bersikap tidak ambil tahu dan tidak peduli.
Jumlah kes
dan kerugian terus meningkat saban tahun. Pada 2014, terdapat 1,026 kes
penipuan ‘African Love Scam’ dilaporkan yang melibatkan kerugian
berjumlah RM52.87 juta manakala pada 2016 bilangan itu meningkat kepada
2,489 kes dengan kerugian sebanyak RM98.9 juta. Dalam kesemua kes,
mangsa tidak pernah bertemu secara langsung dengan kenalan yang mereka
anggap ‘kekasih’ namun mudah menyerahkan wang mereka.
Penjenayah
siber terlebih dahulu mengkaji pelbagai aspek yang berkaitan. Mereka
juga mengenal pasti semua kelemahan sama ada dalam sistem mahupun bakal
mangsa, sebelum mereka mengorak langkah.
“Sindiket
itu menjadikan Malaysia sebagai pusat operasi antarabangsa mereka kerana
mereka mendapati Malaysia sebagai lokasi yang kondusif untuk aktiviti
mereka terutamanya berdasarkan fakta bahawa Malaysia mempunyai sistem
telekomunikasi yang baik dan sambungan Internet yang memudahkan operasi
sindiket,” jelas Ahmad Nordin.
Salah satu
sindiket penipuan antarabangsa yang menjadikan Malaysia sebagai pusat
operasi adalah ialah ‘Macau Scam’ yang mula dikesan pada 2012 yang
beroperasi di Sabah. Mangsa penipuan ini dikatakan kerugian sebanyak 10
bilion Renmibi (RM6 bilion).
Sindiket
penipuan itu muncul semula pada Mei dan polis menumpaskan operasi mereka
di Shah Alam, Selangor. Seramai 20 warga China dan lima warga Taiwan
ditahan kerana menipu mangsa.
Menggunakan
Voice over Internet Protocol (VoIP), anggota sindiket itu menyamar
sebagai pegawai polis atau pegawai Bank Negara yang mendakwa mangsa
terlibat dalam transaksi haram dan perlu membayar sejumlah wang bagi
mengelakkan sebarang tindakan.
RAKYAT MALAYSIA MANGSA MUDAH
Rakyat
Malaysia mudah menjadi mangsa penjenayah siber terutamanya memandangkan
hakikat bahawa negara ini mempunyai bilangan pengguna internet yang
tinggi.
Menurut
Ketua Jabatan Pelaksanaan Jangkauan MCMC, K Juslly Elis, jumlah pengguna
internet di Malaysia sudah menjangkau 24.1 juta, iaitu kira-kira dua
per tiga penduduk negara yang seramai 31.7 juta orang.
Bagi
kebanyakan rakyat Malaysia, Internet amat ‘rapat’di hati mereka, dan
Juslly berkata, sebanyak 97 peratus pengguna media sosial di Malaysia
memiliki akaun Facebook dengan 18 juta pengguna aktif media sosial
setiap hari.
Secara purata pengguna, masing-masing memiliki empat akaun media sosial.
Menyentuh
aspek penggunaan pula, 90.7 peratus daripada mereka menggunakan telefon
pintar dengan penggunaan Internet terutamanya untuk tujuan komunikasi
teks (92.7 peratus), carian maklumat(90.1 peratus) dan media sosial(80
peratus).
SIKAP PENGGUNA UNDANG RISIKO
“Bagaimanapun,
sekiranya berlaku jenayah siber, ianya kerana kesalahan pengguna
Internet itu. Sikap mereka sebenarnya yang mengundang risiko kerana
sewenang-wenangnya berkongsi maklumat sensitif seperti lokasi, nombor
telefon, nombor kad pengenalan dan maklumat peribadi lain menjadikan
mereka sasaran mudah penjenayah siber.
Oleh itu,
kemahiran kawal selia kendiri oleh netizens adalah penting di mana
mereka perlu memahami dan mematuhi undang-undang serta etika yang
berkaitan dengan penggunaan teknologi Internet.
Ahmad
Nordin memberi jaminan bahawa polis akan terus bekerjasama dengan
pelbagai pihak dan agensi dalam siasatan jenayah siber dan memberi
kesedaran awam mengenai bahaya jenayah siber.
Negara ini bersedia untuk menghadapi cabaran-cabaran alam siber, termasuk cubaan merekrut pengganas menggunakan Internet.
“Jangan
sekali-kali melayan mesej atau sms daripada pihak yang tidak dikenali.
Mereka mendahului kita setiap kali seseorang klik untuk membaca pesanan
mereka. Berhati-hati sebelum mendedahkan nombor telefon kepada sesiapa
juga kerana separuh daripada maklumat peribadi anda terdapat di
dalamnya. Ingat, serigala sentiasa ada di sekeliling kita,” kata Ahmad
Nordin. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan