ADAKAH
pengguna terpaksa membayar lebih untuk insurans kenderaan mereka
berbanding apa yang mereka bayar sekarang apabila nyahtarif insurans
kenderaan bermula pada 1 Julai? Ini adalah apa yang Persatuan Pengguna
Pulau Pinang (CAP) faham kerana Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM)
dalam jawapannya kepada soalan:
“Apakah %
peningkatan yang boleh saya jangka (penekanan CAP) bagi premium
kenderaan saya”: “Ia akan berbeza antara satu syarikat insurans dengan
syarikat insurans yang lain. Pengguna perlu meneliti insurans kenderaan
yang memenuhi keperluan mereka.”
Laporan
yang memetik Persatuan Aktuari Malaysia (ASM) juga bersetuju bahawa
“apabila nyahtarif tarif dan perniagaan kenderaan, kadar premium
dijangka meningkat bagi perniagaan kenderaan yang akan menghasilkan
penambahbaikan nisbah kerugian kenderaan daripada mengalami kerugian
semasa atau kedudukan pulang balik modal.”
Nyahtarif
akan secara tidak sengaja menghukum pemandu yang baik oleh beberapa
faktor, terutama sekali berdasarkan jantina, usia, perbatuan kereta dan
pekerjaan pemandu.
Sebagai
ganti nyahtarif, Bank Negara Malaysia (BNM) perlu memperkenalkan Skim
Liabiliti Tanpa Kesalahan (NFL) yang akan memberikan manfaat kepada
pengguna tanpa membebankan mereka dari segi kewangan malah menangani
masalah mereka dengan skim insurans kenderaan semasa.
Pada hakikatnya, BNM telah mengenal pasti senarai masalah yang dihadapi oleh pengguna seawal 2007 dan ia termasuklah:
- Akses yang tidak mencukupi terhadap perlindungan insurans pihak ketiga, terutama sekali bagi kenderaan perdagangan dan lama.
- Proses penyelesaian tuntutan yang panjang.
- Premium yang tidak disemak semula sejak 1978.
- Syarikat insurans enggan untuk menawarkan perlindungan insurans pihak ketiga memandangkan premium tidak mencukupi.
- Risiko mangsa kemalangan tidak menerima sebarang pampasan atau tidak mencukupi.
Sistem
berasaskan kesalahan semasa adalah berdasarkan kepada prinsip Corrective
Justice yang bermakna bahawa anda perlu membayar jika anda bersalah. Di
bawah sistem ini, tidak semua mangsa yang cedera dalam Kemalangan
Kenderaan (MVA) menerima pampasan. Tambahan pula, penuntut perlu
menunggu lama dan terpaksa mengeluarkan banyak wang sebelum mendapat hak
mereka dan menerima pampasan, di samping terpaksa berhadapan dengan
pelbagai masalah lain.
Pada 2010,
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mencadangkan skim Liabiliti Tanpa
Kesalahan (NFL) kepada BNM. Pada hakikatnya, pengenalan skim NFL
berkaitan dengan kematian dan kecederaan tubuh akibat MVA ini
dicadangkan oleh Allahyarham Tan Sri Dato’ Harun Hashim.
Kebaikannya
ialah kos NFL ini hanya sebahagian kecil daripada kebanyakan polisi
insurans kenderaan; Tan Sri Dato’ Harun Hashim sendiri mencadangkan
kadar rata purata RM50 pada 1995 dan CAP bersetuju dengan kadar itu.
Pada
hakikatnya, pada Ogos 2007, Pejabat Peguam Negara mengeluarkan Kertas
Isu Awal mencadangkan skim Liabiliti Tanpa Kesalahan (NFL)
diperkenalkan.
Selanjutnya CAP menyerahkan satu memorandum bahawa NFL mestilah berpandukan prinsip-prinsip yang berikut:
- Pampasan yang cepat, cekap dan mencukupi bagi mangsa MVA tanpa perlu litigasi atau pertikaian penyelesaian berhubung isu kesalahan;
- Pemulihan dan penjagaan sepanjang hayat bagi mangsa dengan kecederaan serius dan sokongan untuk keluarga mangsa yang meninggal;
- Strategi pencegahan kemalangan yang berkesan; dan
- Kos pengurusan yang rendah supaya lebih banyak dana diperolehi untuk mangsa kemalangan jalan raya.
NFL
bukanlah sesuatu yang baharu dan CAP mencadangkan Malaysia mencontohi
model yang diamalkan di Victoria, Australia, dan yang dijalankan oleh
Suruhanjaya Kemalangan Pengangkutan (TAC). NFL juga telah dilaksanakan
oleh Amerika Sysrikat, Kanada dan Australia.
Kita juga
berjaya melaksanakan skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sejak
1971 yang merupakan skim NFL. Ini menunjukkan kita mempunyai kepakaran
untuk mereka bentuk dan melaksanakan skim seperti itu.
Di
Malaysia, CAP menyarankan skim ini dibiayai oleh premium insurans pihak
ketiga. CAP beralasan bahawa bayaran pengurusan dan guaman syarikat
insurans dijangka akan berkurang memandangkan tiada lagi keperluan untuk
membuktikan kesalahan, dan tiada lagi sebarang komisen kepada ejen
sementara premium yang sedia ada sudah mencukupi.
Lebih-lebih
lagi, pembiayaan juga boleh diperolehi daripada Pertubuhan Keselamatan
Sosial (PERKESO) kerana ia juga menangani tuntutan pekerja yang cedera
dalam waktu kerja, termasuklah perjalanan pergi dan balik dari tempat
kerja mereka.
Apa yang
diberi perhatian ialah pencegahan kemalangan untuk menjadikan skim itu
berdaya maju dalam jangka panjang. Seperti dalam kes di Victoria,
terdapat pengurangan lebih daripada 38,000 tuntutan dalam tempoh lebih
10 tahun, dengan penjimatan lebih daripada AUD$1 bilion. Bilangan
kematian jatuh kepada 377 pada 2006 daripada 776 pada 1987.
Kerajaan
Australia mengambil langkah proaktif untuk memperbaiki keadaan jalan,
keselamatan kenderaan dan kempen keselamatan jalan raya yang lebih
berkesan.
Pada
hakikatnya, BNM berminat untuk melaksanakan NFL sehinggalah pada 2010
apabila BNM mengumumkan Rangkakerja Perlindungan Kenderaan Asas (BMCF)
yang merupakan petanda buruk kepada NFL. Kemudian pada lewat April 2017,
BNM mengumumkan ia sedang meliberalisasikan industri insurans kenderaan
supaya syarikat insurans individu dan pengendali takaful boleh
menentukan harga produk insurans kenderaan.
Apabila
nyahtarif (detariffication) insurans kenderaan bermula pada 1 Julai, ia
akan menjejaskan semua rakyat Malaysia yang memiliki kenderaan. Menurut
Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), terdapat
27.61 juta kenderaan berdaftar di negara ini pada 2016. Kesan nyahtarif
ke atas setiap orang yang memiliki lesen kenderaan tidak dapat
dibayangkan.
Terdapat
konsensus umum antara CAP, BNM dan Pejabat Peguam Negara bahawa NFL
adalah baik dalam bentuk membantu mangsa kemalangan. Dengan nyahtarif,
tiada penambahbaikan ketara terhadap masalah yang dikenal pasti oleh BNM
pada 2007.
Adakah
masalah pengguna yang dikenal pasti oleh BNM pada 2007 ditangani dengan
menyeluruh atau BNM hanya melindungi kepentingan industri insurans
apabila insurans kenderaan dinyahtarif? CAP sekali lagi menegaskan
bahawa NFL perlu segera diguna pakai dan dilaksanakan demi kepentingan
pengguna. Amat mengejutkan bahawa BNM berterusan menyokong syarikat
insurans bukannya orang ramai.
* SM Mohamed Idris, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan