Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM: 'Jika mahu masuk Islam, serahkan kunci rumah, kereta dan
keluar daripada rumah ini', itu syarat yang diberikan ibu bapa Mohamad
Yazid Abdullah, ketika pemuda berusia 41 tahun itu menyatakan hasrat
mahu memeluk agama Allah SWT.
"Saya bukan jenis orang yang suka sembunyikan sesuatu perkara. Apabila
saya beritahu kedua-dua ibu bapa saya niat hendak memeluk Islam, mereka
agak terkejut. Mereka kemudiannya beri syarat, jika saya benar-benar
mahu masuk Islam, saya perlu tinggalkan kesemuanya, letak kesemua kunci
rumah dan kereta dan menyuruh saya keluar.
"Ya, saya akan keluar... Ketika itu hanya saya, isteri dan dua anak
kami yang masih kecil. Namun saya tak mahu anggap ia masalah. Saya
kemudiannya letak kunci rumah dan kereta. Dan beritahu mereka saya mahu
ambil baju-baju saya, isteri dan anak-anak, kemudian kami akan keluar
rumah," katanya kepada wartawan Antarapos.
Sehelai
sepinggang bersama isteri dan dua anak yang masih kecil, Yazid, yang
ketika itu berusia 35 tahun, hanya berbekalkan RM500 untuk membina hidup
baru bersama keluarga.
Mujur ada seorang sahabat yang sudi membantu, yang kemudiannya menawarkan tempat berteduh di Johor Bahru.
"Akan ada keajaiban dalam kuasa Allah SWT. Dia akan beri apa yang kita
mahu jika niat kita ikhlas. Saya ke sebuah surau di Johor Bahru
berdekatan dengan rumah rakan saya. Pertama, orang-orang di sana tidak
pernah halang saya untuk masuk masjid. Penduduk di Bukit Indah juga
tidak pernah memaksa saya untuk memeluk Islam. Mereka sebaliknya
mengajak kita untuk lebih mengenali Islam.
"Dalam beberapa kali datang ke masjid, belajar... Akhirnya saya
putuskan untuk mengucap kalimah syahadah di surau Bukit Indah, Johor dan
mendaftar di pejabat Agama Daerah Johor," katanya.
Meskipun terkilan dengan penentangan dan reaksi keras ahli keluarganya,
Yazid yakin ia timbul selepas mereka tidak jelas dengan kesucian agama
Islam.
Apatah lagi mereka kesemuanya kuat pegangan agama Hindu dan mengamalkan adat dan budaya Malayalam.
Atas kebencian itu juga, berita kematian bapanya hanya diketahui selepas beberapa minggu, itu pun melalui seorang rakannya.
"Kasta Malayalam yang merupakan kasta yang tertinggi di dalam kaum
India, dimana contohnya mereka tidak membenarkan perkahwinan sesama
India secara sembarangan, contohnya hanya membenarkan sesama kasta
Malayalam sahaja.
"Kita rasa kecewa... tetapi saya tidak salahkan mereka. Sebab mereka
ada tanggapan salah terhadap Islam, seolah-olah kita tidak boleh buat
itu ini. Sedangkan mereka tidak tahu apa yang sebenarnya (tentang
Islam)," ujarnya.
Menceritakan lebih lanjut, Yazid berkata dalam keluarga kecilnya itu
hanya dirinya sahaja yang memeluk Islam, manakala isteri dan dua anaknya
masih lagi dalam agama yang lama.
Isterinya yang berasal dari Indonesia dan beragama Kristian itu
akhirnya terbuka untuk memeluk Islam selepas dua tahun, bersama dua anak
lelaki mereka.
"Sebab itu saya katakan kepada isteri saya kita kena hargai. Saya juga
beri masa kepada dia, kerana sanggup berkorban demi saya. Dia mahu ikut
saya keluar dari rumah, saya beri dia masa dan tidak akan paksa (masuk
Islam)," ceritanya lagi.
Namun jauh di sudut hatinya, terdetik perasaan sebak mengenangkan nasib
isteri dan anak-anaknya yang tidak mendapat kasih sayang keluarganya.
"Tentunya, saya sudah bersama mereka sejak kecil. Isteri, anak-anak
saya yang tidak buat salah pun terkena tempiasnya. Mereka tak merasa
ziarah rumah nenek, datuk, merasa makanan ibu mertua," kenang Yazid.
Minatnya terhadap Islam bermula sejak remaja apabila dirinya sering bergaul dengan rakan-rakan sebaya yang beragama Islam.
Yazid memberitahu dirinya hairan mengapa rakan-rakannya sering
mengerjakan solat, lantas melakukan sedikit kajian terhadap agama Islam
dan mengaitkan tuntutan Allah SWT terhadap logik alam, kesihatan dan
urusan seharian.
"Saya seorang yang suka mengetahui sesutu, mengapa dan ada banyak
pertanyaan. Saya dibesarkan di kalangan orang Melayu, sudah terbiasa
mendengar azan dan saya seperti hendak tahu, tertanya-tanya... Jadi saya
selidik sedikit-sedikit, mengapa kena solat, mengapa kena bersihkan
badan, berwuduk, cara solat, sujud, rukuk, kemudian kaitannya dengan
kesihatan dan terbukti secara saintifik.
Bagaimanapun
Yazid 'menyesal' kerana baru memeluk Islam selepas dirinya berusia
30-an, dan merasakan dirinya seolah-olah tidak cukup masa untuk
mempelajari, mendalami dan mengamalkan kesucian dan kecantikan agama
tersebut.
Mengakui dirinya amat beruntung menerima hidayah daripada Allah SWT,
Yazid yakin isteri dan anak-anaknya juga turut merasakan hal yang sama.
"Saya rasa hidup saya pendek... Saya rasa seperti mengapa baru sekarang
saya memeluk Islam? Saya masuk Islam dan kini saya berumur 41 tahun.
Ilmu Islam itu luas dan saya rasa hidup saya pendek.
"Sebab itu saya cuba sebaik mungkin untuk belajar dan mendapatkan ilmu,
sebab ilmu Allah itu cantik, luas, sedangkan ia membuatkan saya
terfikir kenapa saya tak buat keputusan memeluk Islam sejak dahulu,"
katanya sambil tersenyum.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan