BATU PAHAT: Kira-kira 100 kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES)
akan dipasang di lokasi strategik di seluruh negara, tahun depan, kata
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi.
Aziz berkata AES yang akan dipasang di lebuh raya dan jalan persekutuan
itu dapat membantu pengguna jalan raya mematuhi peraturan memandangkan
ia merupakan sistem penguatkuasaan sepanjang masa selama 24 jam.
"AES ini akan ditambah kerana kita (Malaysia) mempunyai matlamat untuk
mengurangkan 50 peratus kadar kemalangan menjelang tahun 2020 seperti
yang telah dipersetujui di peringkat dunia," katanya kepada pemberita
pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran beliau di Kampung Parit
Jelutong, Parit Raja, di sini, hari ini.
Menurut Ahli Parlimen Sri Gading itu, terdapat kira-kira 50 AES yang sudah dipasang di seluruh negara setakat ini.
Beliau berkata saranan mengurangkan 50 peratus kadar kemalangan
menjelang tahun 2020 merupakan satucabaran kepada negara kerana Malaysia
merupakan satu daripada negara yang mencatatkan kadar kemalangan
tinggi.
"Kita (kerajaan) juga tidak mahu negara kerugian modal insan akibat
kemalangan jadi, penguatkuasaan secara automasi (AES) merupakan kaedah
terbaik memandangkan sistem ini tidak ada pilih kasih kerana kamera
tidak mengenali orang dan akan rakam semua kenderaan yang lalu,"
katanya.
Ab Aziz dalam pada itu turut menasihati para pengguna jalan raya yang
akan pulang semula ke kota selepas sambutan hari raya supaya mengambil
iktibar dengan memandu secara berhemah bagi mengelak kejadian tidak
diingini.
Beliau yakin kemalangan dapat dielakkan sekiranya para pengguna jalan
raya memandu dengan cermat dan mengikut peraturan ditetapkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan