Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: Barangkali kita biasa mendengar golongan yang terpaksa
bekerja pada Hari Raya Aidilfitri terdiri daripada mereka yang terlibat
dalam bidang keselamatan seperti polis, bomba, tentera dan sebagainya.
Namun
tahukah anda, pemilik kedai haiwan peliharaan, khususnya yang
menyediakan perkhidmatan 'hotel' atau 'boarding', turut tidak terkecuali
bekerja di hari raya!
Mungkin ada pemilik kedai haiwan akan menyerahkan sepenuhnya tugas
menjaga haiwan-haiwan ini kepada pekerja mereka, tetapi tidak bagi
wanita bernama Yong Seluwati Alias ini.
Lebih mesra disapa sebagai Kakyong, pemilik Erul Catscare
Palace-Catshop & Hotel Kucing ini mengakui sudah lapan kali tidak
menyambut Aidilfitri di kampung halaman, sejak perniagaan dimulakan pada
2009.
Wanita berusia 42 tahun ini lebih selesa memantau sendiri kucing-kucing
pelanggan yang dihantar menginap di kedainya, di samping bantuan para
pekerja.
Dan, Aidilfitri ini merupakan tahun kesembilan Kakyong akan beraya bersama 'keluarga keduanya'.
Mengakui perasaan sedih tetap bertandang apatah lagi tatkala mendengar
laungan takbir, namun menurut Kakyong, inilah yang dinamakan sebagai
pengorbanan.
"Semua
faham. Bila kita mula buat bisnes ini, kita dah beritahu kerja kita,
mereka faham, mereka melihat ini pun sebahagian ibadah... rezeki pun iya
juga.
"Tapi nak buat macam mana, pengorbanan lah. Keluarga dah faham. Yang
bercakap tu, biasalah. Tapi kita tahu apa yang kita buat, kita cakap
kita buat kerja ini dan minta izin mak ayah kita. Izin tu penting,"
katanya yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak.
Membangunkan perniagaan bersama suami, Khairul Ahmad Saffar, 35, Erul
Catscare Palace-Catshop & Hotel Kucing ini mempunyai pelbagai
perkhidmatan selain 'boarding', iaitu 'grooming', 'breeding' atau
mengahwinkan baka kucing, dan juga menjual segala macam keperluan untuk
untuk si comel.
Mengimbas kembali bagaimana tercetusnya idea untuk memulakan perniagaan
ini, menurut Kakyong, ia bermula apabila dia dan suami 'pening'
memikirkan kos 'boarding' kucing peliharaan sendiri yang berjumlah 28
ekor pada ketika itu.
"Bermula 2009, puncanya, saya masa itu sudah ada 28 ekor kucing
sendiri. Terfikir kos tinggi (untuk boarding), takkan saya nak bawa
balik kampung semua. Sebelum ini jumlah sikit saya bawa pulang, jadi 28
ekor tak mampu. jadi terfikir Cina boleh buat, kenapa Melayu tak boleh
buat?," katanya sambil menambah, idea tersebut pada mulanya diragui oleh
sang suami.
Berbekalkan keberanian, pasangan suami isteri ini mencuba nasib membuka
perkhidmatan hotel kucing, dan tanpa disangka, sambutan yang diterima
sungguh menggalakkan.
"Kita mula buka boarding menerusi mudah.my. Banyak dapat permintaan,
sampai tak cukup kandang, ada yang mahu bawa kandang sendiri. Bermula
dari situ, sampai lah sekarang tak ada cuti.
"Saya fikir, benda ni kita buat yang orang pun boleh tumpang letak. Itu
puncanya, ia (idea) spontan datang tapi kena berkorban, tak boleh
raya," kata Kakyong.
Hampir sembilan tahun bertapak, kini Erul Catscare Palace-Catshop &
Hotel Kucing sudah mempunyai empat cawangan iaitu di Seksyen U16,
Seksyen 13 (Shah Alam), Desa Coalfield (Sungai Buloh) dan Kuala Kangsar.
Ujar
Kakyong, permintaan paling tinggi adalah sewaktu musim perayaan
khususnya Aidilfitri, di mana mereka lazimnya menerima sehingga 380 ekor
kucing untuk dijaga di keempat-empat cawangan.
Rata-rata pelanggannya adalah pelanggan tetap, yang percaya dengan
perkhidmatan yang ditawarkan oleh Erul Catscare Palace-Catshop &
Hotel Kucing sejak ia mula bertapak pada 2009 lagi.
Ketika ditanya rahsia kedainya sentiasa mendapat sambutan, ujar Kakyong, apa yang paling dititikberatkan ialah perkhidmatan.
"Kita jaga servis, kita jaga 'PR' dengan pelanggan. Pelanggan yang berpuashati dia akan ulang lagi hantar dengan kita.
"Memang dia akan cuba tempat baru, kalau tempat baru itu lebih bagus,
dia akan tinggalkan kita tapi kalau tempat baru itu dia tak puas hati,
dia patah balik kepada kita. Kita pastikan kucing yang dihantar kepada
kita, sebelum balik, berat badannya tak turun," ujarnya penuh makna.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan