KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah
memperkatakan tentang betapa pentingnya untuk melakukan yang terbaik
dalam memberi rawatan kepada pesakit dengan diiringi kekuatan doa yang
penuh barakah.
Beliau berkata menjadi rutin buat dirinya untuk memulakan pembedahan
dengan membaca “Bismillahir-Rahmanir-Rahim’, kalimah bahasa Arab yang
membawa maksud “Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha
Mengasihani”.
Menulis di laman Facebooknya, Dr Noor Hisham berkata: “Pengajaran
penting di sini adalah memulakan pembedahan itu dengan bacaan doa dan
perjelaskan kepada pesakit serta anggota keluarga tentang ciri-ciri
pembedahan tersebut.
“Kita harus meyakinkan mereka yang kita akan melakukan yang terbaik dan
meminta mereka agar turut sama berdoa, tanpa mengira apa bangsa atau
agama mereka.”
Beliau mengimbas kembali kes amat mencabar yang dikendalinya apabila
beliau terpaksa mematahkan tulang sternum pesakit bagi membuang kanser
tiroid folikular berulang yang mengakibatkan pesakit tersebut kehilangan
darah lebih 15 liter.
Noor Hisham berkata pakar bius bertugas ketika itu berputus asa dan beliau juga hampir menyerah kalah.
“Namun dengan izin Allah, pesakit itu dibenarkan pulang ke rumah selepas seminggu kemudian,” katanya.
“Selama bertahun-tahun bertugas sebagai pakar bedah, saya belajar satu
perkara penting – kita boleh cuba untuk lakukan yang terbaik untuk
menjalankan pembedahan tersebut, lebih-lebih lagi jika ia sangat sukar,”
katanya.
Catatan Facebook beliau itu dibuat berikutan terdapat kritikan terhadap
juruterbang pesawat AirAsia X penerbangan D7237 yang dilaporkan meminta
penumpang supaya berdoa ketika pesawat tersebut mengalami gegaran
semasa dalam penerbangan dari Perth ke Kuala Lumpur pada Ahad lepas.
Walaupun keadaan itu dikaitkan dengan isu teknikal enjin, pesawat
tersebut berjaya patah balik dan mendarat dengan selamat di Perth.
Banyak pihak yang memuji tindakan juruterbang dan kru pesawat itu
kerana begitu profesional dalam menangani situasi tersebut serta
memastikan keselamatan semua yang berada di dalam pesawat berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan