Rafa Azmir
Jabatan Peguam Negara (AGC)
telah mengarahkan pihak polis untuk menyiasat lebih lanjut mengenai isu
1MDB, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.
“Saya ingat saya sudah cakap ini. Saya
sudah beritahu sebelum ini bahawa Peguam Negara telah mengarahkan kita
menyiasat lanjut beberapa persoalan yang timbul, jadi kita sedang
menjalankan siasatan lanjut,” katanya selepas menghadiri majlis rumah
terbuka Aidilfitri Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman, di Kuala
Lumpur, hari ini.
Beliau disoal wartawan sama ada terdapat
sebarang arahan dari pejabat peguam negara berhubung kertas siasatan
yang diserahkan oleh polis.
Polis menubuhkan sebuah pasukan
penyiasat pada April 2016 untuk meneliti laporan Jawatankuasa Kira-kira
Wang Negara (PAC) mengenai 1MDB, sehari selepas laporan berkenaan
dibentangkan.
Pada April tahun ini, Khalid memberitahu pemberita bahawa siasatan itu telah selesai.
Pada 17 Jun lalu, Khalid berkata beliau
masih belum menerima sebarang maklum balas daripada pejabat peguam
negara berhubung kertas siasatan yang diserahkan oleh polis.
Tekanan ke atas pejabat peguam negara
dan polis semakin meningkat susulan pemfailan saman sivil terbaru oleh
Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat berkaitan 1MDB pada 15 Jun.
Pelbagai pihak, khususnya pembangkang
dan kumpulan masyarakat sivil membidas pihak berkuasa Malaysia kerana
gagal bertindak sedangkan rakan sejawatan mereka di Singapura,
Switzerland, Amerika Syarikat dan beberapa negara lain telahpun
mengambil tindakan ke atas mereka yang terlibat dalam skandal 1MDB.
Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali,
dilaporkan berkata, pelbagai siasatan yang dijalankan mendapati tiada
kegiatan jenayah yang telah dilakukan.
1MDB pula bertegas bahawa tidak ada wang
yang telah diselewengkan daripada syarikat itu, yang jelas bercanggahan
dengan dakwaan DOJ.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan