Rabu, 28 Jun 2017

Serangan Masjidil Haram: Siapa Dan Kenapa?

Ramli Putih

Masjidil Haram


Serangan berdekatan Masjidil Haram yang menempatkan Kaabah di Makah sesuatu yang memeranjatkan, tetapi bukanlah kejadian aneh.

Laporan berita berkata tiga kumpulan dalam negara, dua berasal dari dari Makah dan satu dari Jeddah terbabit dalam serangan berkenaan. Namun nama-nama kumpulan tidak diumumkan.

Dalam pada itu kerajaan Arab Saudi berkata, penyerang mungkin warga asing, selepas lima orang diberkas termasuk seorang wanita.

Tidak pula disebut bilangan sebenar penyerang, kecuali seorang daripadanya menembak diri sendiri semasa berbalas tembak dengan pasukan keselamatan.

Meskipun pasukan keselamatan berjaya menghalang kemusnahan lebih buruk, sebelas orang sempat cedera termasuk enam ekspatariat dan lima anggota keselamatan. Kecederaan mereka bukan kerana serangan tetapi akibat bangunan tempat persembunyian pengganas diletupkan.

Sasaran serangan sebenar adalah Masjidil Haram, masjid paling suci dan paling besar bagi umat Islam.

Meskipun siapa penyerang dan alasan serangan belum diumumkan, dunia dapat menjangka mereka adalah musuh Islam nombor satu kerana sasaran sebenar serangan adalah Masjidil Haram dan berlaku hanya dua hari sebelum umat Islam merayakan Aidilfitri.

Namun banyak punca lain boleh dikaitkan dengan serangan Jumaat lalu. Arab Saudi sebenarnya mempunyai banyak musuh. Hubungan baik dengan Amerika dan Israel antara punca negara-negara Islam lain membenci kerajaan beraja negara itu, kecuali negara-negara yang mempunyai hubungan dagang serta memerlukan bantuan dana dari raja Arab Saudi.

Bagaimanapun, tidak semua rakyat di negara yang rapat dengan kerajaan Arab Saudi, bersetuju dengan hubungan diplomatik kerajaan mereka. Ramai yang melihatnya secara sinis dan menunggu masa untuk bertindak balas.

Serangan ke atas Yaman dan penglibatan secara langsung kerajaan Arab Saudi dalam kemelut yang masih berlangsung di Syria turut menambah musuh mereka. Arab Saudi didakwa antara negara Islam yang membiayai kumpulan-kumpulan pengganas menggugat keamanan Syria.

Sengketa dengan Qatar turut meningkatkan bilangan musuh kerajaan Arab Saudi. Qatar dituduh menyebelahi pengganas kerana memusuhi Israel dan menyokong perjuangan Hamas yang berusaha membebaskan Palestin daripada cengkaman Israel. Qatar juga menyokong perjuangan Hezbollah yang membantu Hamas memperjuangkan Palestin.

Bagi Arab Saudi, Hamas dan Hezbollah adalah kumpulan pengganas kerana memusuhi Israel, senada dengan suara Amerika.

Ajaran Wahabi yang menjadi tunjang kumpulan-kumpulan pengganas yang kononnya berusaha menubuhkan negara Islam bermula dari Arab Saudi pada abad ke-18. Ajaran itu menjadi anutan kerajaan beraja negara itu. Bagi menyebarkan ajaran yang terkeluar dari Ahli Sunah itu, kerajaan Arab Saudi membiayai penubuhan sekolah-sekolah agama di banyak negara dunia.

Kerajaan juga membiayai kumpulan-kumpulan pengganas berasaskan Wahabi. Ini termasuk Al Qaeda, ISIS, Al Nusra atau Nusra Front, Taliban dan sebagainya, termasuk yang beroperasi di negara-negara Afrika.

Dan kalaulah serangan Makah dilakukan salah satu daripada kumpulan berasaskan Wahabi itu, ini bagaikan senjata makan tuan. Sebelum ini, dalam dua serangan pada 2015, kumpulan ISIS mengaku bertanggungjawab. Serangan pertama di masjid Imam Ali di Qudayh yang membunuh 21 orang dan satu lagi serangan di luar sebuah masjid dan Dammam, lima orang terbunuh.

Sebenarnya, Arab Saudi, sudah banyak kali menghadapi serangan ganas seperti itu sejak beberapa tahun kebelakangan, atau sekurang-kurangnya berjaya menghalang serangan daripada berlaku.

Oktober tahun lalu pasukan keselamatan Arab Saudi berjaya menghalang percubaan serangan semasa perlawanan akhir bola sepak di Jeddah. Empat warga Pakistan dan empat warga tempatan antara yang diberkas, selepas seorang daripada penyerang meletupkan dirinya dekat konsolat Amerika.

Manakala bulan Julai tahun lalu, tiga letupan bunuh diri berlaku di tiga bandar- Madinah, Jeddah dan Qatif. Beberapa kematian di kalangan pasukan keselamatan berlaku tetapi tidak ada kumpulan mengaku bertanggungjawab. Namun ISIS atau kumpulan gabungan ISIS dijangka terbabit.

Dalam pada itu, masjid puak Syiah turut menjadi sasaran serangan pengganas. Pada Januari tahun lepas masjid Al-Ahsa menjadi sasaran dan sekurang-kurangnya empat orang terbunuh. Dan sekurang-kurangnya 13 lagi terbunuh dalam letupan bunuh diri di sebuah masjid di wilayah Asir pada Ogos 2015. Lima lagi terbunuh dalam serangan masjid di Saihat.

Dan masalah terbaru Arab Saudi melibatkan rombakan dalam kerajaan monarkinya apabila Raja Salman melantik anaknya, Mohammed bin Salman, 31 tahun menggantikan sepupunya Mohammed bin Nayef sebagai putera mahkota.

Apa yang kita tahu Mohammed bin Salman yang juga memegang jawatan Menteri Pertahanan sangat berminat dengan peperangan. Dia yang bertanggungjawab dalam siri serangan udara yang menghancurkan Yaman, membunuh berpuluh ribu rakyat negara itu sejak 2015.

Meskipun perlantikan ini diyakini dapat mengeratkan hubungan dengan Amerika, termasuk melibatkan pembelian senjata bernilai 110 bilion dolar, tetapi hubungan dengan pihak yang membenci Amerika dan memusuhi Israel pasti merosot. Tidak mustahil mereka antara yang terbabit dalam serangan Jumaat lalu.


Tiada ulasan: