BESUT: Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi
mengesahkan tujuh suspek dalam kejadian menyerang seorang pemuda di
Kampung Pengkalan Nyireh di sini hingga maut Rabu lalu berjaya diberkas.
Beliau berkata lima suspek ditangkap pada malam kejadian manakala dua
lagi ditahan semalam di rumah masing-masing di kampung Raja dan Kuala
Besut.
Semua mereka dipercayai kenalan mangsa.
“Sehingga ini polis sedang memburu sekurang-kurangnya lapan lagi suspek
dan mereka dijangka akan ditangkap tidak lama lagi kerana identiti dan
alamat mereka telah dikenalpasti,” katanya kepada media ketika
menghadiri Majis Rumah Terbuka Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Jabi,
Mohd Iskandar Jaafar hari ini.
Dalam kejadian pada 21 Jun lepas, mangsa Nik Mohamad Shahrulanuar Nek
Der, 22, meninggal dunia di tempat kejadian selepas dipercayai diserang
kira-kira 15 lelaki ekoran perselisihan faham.
Tambah Mohd Zamri, sehingga kini pihaknya masih belum menemui senjata
tajam yang digunakan dalam kejadian itu kecuali pakaian suspek dan
telefon bimbit.
Mengenai kejadian tetak di Kampung Lak Lok, Jertih pada 24 Jun pula,
Mohd Zamri berkata pihaknya masih belum membuat sebarang tangkapan namun
memperoleh beberapa maklumat terperinci mengenai identiti suspek.
Menurutnya, dalam kejadian pada kira-kira jam 12.19 tengah malam itu
empat orang cedera dan dirawat di Hospital Daerah Besut, berpunca
daripada pergaduhan 2 kumpulan menggunakan senjata tajam.
Mereka yang terbabit berumur antara 19 hingga 51 tahun dan merupakan penduduk tempatan.
Sementara itu bagi kes pemandu Uber yang ditetak 3 lelaki pada 23 Jun
di Stesen Petronas pada pukul 3.15 pagi, Mohd Zamri berkata tiga suspek
bertanggungjawab menetak pemandu berkenaan.
Kejadian berlaku ketika dia sedang berehat setelah perjalanan jauh dari Kuala Lumpur untuk pulang ke Bachok, Kelantan.
“Kereta mangsa jenis Kia Forte yang turut dilarikan suspek dalam kes
itu masih belum ditemui,” katanya yang turut menegaskan masih tiada
sebarang tangkapan berhubung kes tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan