Oleh Nur Atiqah Abd Samad
SHAH ALAM: Rawatan terapi ozon mula memasuki Malaysia dan dikenali pada
sekitar tahun 2000, yang dikatakan mampu merawat pelbagai penyakit
serta melambatkan proses penuaan.
Terapi ozon tidak mengandungi pakej pengambilan ubat-ubatan, sebaliknya
ia sekadar penyaluran masuk ozon (O3) ke badan pesakit.
Ia juga dipanggil proses pengozonan dan pengoksidanan darah atau lebih
mudah memahaminya, menerusi proses pengoksidanan, sistem badan akan
berfungsi jauh lebih baik kerana dibekalkan atau mendapat oksigen
secukupnya.
Namun pada Mei tahun ini, rawatan berkenaan diharamkan Kementerian
Kesihatan Malaysia (KKM) serta merta ekoran penilaian teknologi
kesihatan yang dijalankan Cawangan Penilaian Teknologi Kesihatan
(MaHTAS) mendapati tiada bukti saintifik yang menyokong sebarang manfaat
terapeutik ini bagi merawat mana-mana penyakit.
Malah bukan itu sahaja, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam
mendakwa ia juga boleh menyebabkan komplikasi perubatan yang teruk
termasuk membawa kepada kematian.
Sehubungan itu pihak Antarapos, menemubual seorang doktor yang mempunyai pengalaman dalam dunia perubatan ozon ini sejak 2001.
Dr Mohd Nasir Sulaiman merupakan salah seorang pelopor pertama dalam
menggunakan rawatan ini yang dikenali dengan nama saintifik sebagai
Extracorporeal Blood Oxygenation and Ozonation (EBOO).
Beliau berkata, rawatan seumpama ini didakwa mampu mengekalkan tahap
kesihatan manusia, selain membantu proses penyembuhan penyakit.
“Terapi ozon ni menggunakan udara atau gas ozon perubatan yang boleh
dimasukkan dalam darah manusia. Jadi kesan yang boleh kita mengharapkan
adalah memperbaiki kualiti darah seseorang, maksudnya supaya oksigen
dalam darah meningkat.
"Apabila dia meningkat, pada orang yang sakit ia memperbaiki masalah
kesihatan yang ada. Pada orang yang sihat, kita mengharapkan dapat
memperkuatkan kesihatan.
"Saya selalu menyamakan untuk memperbaiki kualiti darah ni sama seperti
kenderaan kitalah. Kenderaan perlu servis, beli baru atau lama sama
saja. Kenapa perlukan servis? Sebab kita ingin mengekalkan kereta itu
bertahan lama, kalau ada masalah pun tak adalah sampai ‘overhaul’
sehingga ganti yang baru," katanya kepada Antarapos dalam satu temubual
sempena Aidilfitri.
Tetapi menurut beliau lagi yang mendapat Sijil Perubatan (Medical
Degree) di Universitas Syiah Kuala, Banda Acheh, Indonesia ini
seringkali menegaskan pesakitnya dilarang sama sekali meninggalkan ubat
yang diberi doktor hospital untuk penyakit tertentu.
Malah Dr Nasir menjelaskan rawatan terapi ozon ini merupakan kaedah
alternatif sahaja dan bukan jaminan untuk pesakit pulih 100% selepas
mendapat rawatan.
“Banyak orang mendakwa terapi ozon ni bersifat alternatif tetapi ia
bukan, sebaliknya adalah rawatan sokongan. Kalau alternatif bermaksud ia
meninggalkan sesuatu yang lama dan ambil yang baru.
"Sebab tu dalam terapi kita tak pernah suruh pesakit berhenti ambil
ubat, terapi ozon ini hanya memperbaiki kualiti darah. Apabila darah
berkualiti, kesan ubat akan meningkat sehingga dos ubat yang kita
gunakan akan menurun sekaligus akan mengurangkan orang yang menggunakan
ubat," jelasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan