Sabtu, 24 Jun 2017

DITUDUH PENCURI DAN MELAKUKAN JENAYAH, BILA LAGI NAJIB NAK SAMAN TUN MAHATHIR?

shahbudindotcom


Tun Mahathir Mohamad terus konsisten dan terbuka mengkritik serta menyerang Najib Razak. 

Sementara Najib hanya berani main sindir-sindir dan menggunakan kiasan untuk memperlekeh musuh politiknya itu, Tun Mahathir sebaliknya melakukan semua serangan secara terang-terangan dan nyata.

Jika sebelum ini beliau menuduh Najib sebagai pencuri, kali ini dalam tulisan terbaru di blognya, Tun Mahathir lebih terbuka dengan mengatakan Najib telah melakukan jenayah.

Kata bekas Perdana Menteri selama 22 tahun itu, menyokong Najib adalah sama seperti menyokong jenayah yang dilakukannya.

"UMNO sekarang sudah dihijack untuk menjadi alat pelindung jenayah yang sudah dan sedang dilakukannya.

"Ia menggunakan duit kerajaan dan duit 1MDB yang diselewengkan untuk sogok ahli-ahli UMNO supaya terus menyokong dirinya," tulis Tun Mahathir.

Sehubungan itu, beliau mengajak ahli-ahli UMNO berhenti mengkhianati parti itu.

"Tolaklah Najib dan keluarlah daripada UMNO untuk menyertai gerakan menjatuhkannya dalam pilihanraya.

"Hentikan daripada melindungi makhluk perosak ini," tambahnya lagi.

Suatu serangan yang jelas, terang, nyata, tidak berselindung dan mudah difahami.

Selain itu, Tun Mahathir, beserta pelbagai dakwaan dan serangannya terhadap Najib, beliau dalam beberapa ucapannya juga mengalu-alukan untuk disaman jika apa yang disebutnya adalah tidak benar.

Beberapa hari sebelum ini, berikutan ugutan Rosmah Mansor untuk menyaman pengguna media sosial yang membuat tuduhan palsu terhadapnya, Tun Mahathir turut sedia untuk disaman oleh isteri Perdana Menteri itu.

"Berani kerana benar, saya tidak takut sebab ini bukan fitnah," katanya mengulangi dakwaan yang dibuat oleh DOJ yang mengaitkan isteri Malaysian Official 1 menerima pelbagai hadiah barangan kemas bernilai jutaan ringgit yang didakwa berpunda daripada dana 1MDB.

Daripada dituduh pencuri, kini didakwa pula melakukan jenayah, apakah Najib dan Rosmah langsung tiada keberanian untuk menyaman Tun Mahathir?




Tiada ulasan: