Oleh Shuhaniza Said
KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) akan menganjurkan satu himpunan
besar-besaran pada September ini bagi memberi penerangan kepada rakyat
bersabit dakwaan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail bagaimanapun
menafikan ia adalah demonstrasi jalanan, sebaliknya hanya satu himpunan
aman.
Bagaimanapun lokasi dan tarikh himpunan berkenaan masih belum dimuktamadkan dan dalam perbincangan.
Himpunan rakyat pada September itu menjadi penutup kepada siri jelajah
di seluruh negara yang akan bermula pada 6 Julai ini di Kepala Batas.
"Kadang-kadang rakyat tak rasa isu 1MDB ini berkaitan (dengan mereka), sebab itu kita nak mendekati rakyat dengan siri jelajah.
"Kalau Peguam Negara cakap tiada apa-apa dan kata ia hanya helah
politik, apa nak jadi dengan negara kita. Dia menjadi wakil perundangan
dan keadilan tapi dia sendiri kata tiada apa-apa dan helah politik...
ini tak masuk akal," katanya dalam sidang media di Parlimen, sebentar
tadi.
Himpunan bertemakan "sayang Malaysia hapuskan kleptokrasi" merupakan
salah satu daripada lima langkah yang akan diambil bagi mendesak
penerangan kerajaan berkaitan dakwaan skandal syarikat milik Kementerian
Kewangan itu.
Ia diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Tindakan 1MDB yang dibentuk
antara PH bersama parti-parti pembangkang lain, Parti Sosialis Malaysia
(PSM) dan Parti Warisan Sabah (Warisan) sebentar tadi.
Selain himpunan rakyat dan siri jelajah, jawatankuasa itu juga mendesak
Perdana Menteri mengadakan sidang tergempar Parlimen dan membentangkan
kertas putih berkenaan 1MDB.
Satu laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan
Bank Negara Malaysia juga akan dibuat bagi menuntut supaya kertas
siasatan dibuka semula.
Ketika ditanya mengenai penglibatan PAS dalam jawatankuasa berkenaan,
Wan Azizah berkata, surat jemputan kepada parti itu sudah dihantar namun
tiada maklum balas yang diberikan.
"PAS kita hantar surat tapi tak ada jawapan dan tak ads respon. Jadi kena tanya PAS," kata Presiden PKR itu lagi.
Sementara itu PH juga mendakwa tiada keperluan untuk Jabatan Kehakiman
(DoJ) Amerika Syarikat merujuk kepada Jabatan Peguam Negara bagi
mendapatkan sebarang keterangan atau maklumat lanjut terhadap tuntutan
yang dikemukakan mereka bersabit 1MDB.
Pengarah Strategi Amanah, Dr Dzulkefly Ahmad yang mewakili Wan Azizah
berkata, ini kerana saman sivil yang dikemukan DoJ itu dikategorikan
sebagai 'Judgement in Rem', iaitu berkaitan dengan aset.
"DoJ secara jelas menyatakan mereka ambil Jjugdement in Rem'.
'Judgement in Rem' berbeza dengan 'Judgement in Personal'. Ini bermakna
mereka tidak ambil maklum terhadap pemilik duit tetapi bagaimana duit
itu ia dibawa ke AS dan bagaimana ia dibelanjakan.
"Mereka lakukan kleptokrasi untuk dapatkan profit balik segala wang
yang dirompak dan dibelanjakan di AS. Jadi dengan kata lain tidak ada
keperluan mereka rujuk 1MDB.. ia berbeza dengan 'Judgement in
Personal'," katanya.
Semalam Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata tindakan DoJ
mengemukakan saman sivil terbaharu untuk merampas tambahan aset AS$540
juta yang didakwa diperoleh dengan dana diseleweng dari 1MDB, bersifat
politik.
Menurut Apandi, ia berikutan DoJ tidak pernah membuat sebarang
permohonan rasmi kepada Jabatan Peguam Negara untuk mendapatkan sebarang
keterangan atau maklumat lanjut terhadap tuntutan yang dikemukakan
mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan