Oleh Athirah Hanapiah
PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) dijangka mengumumkan struktur organisasi barunya pada minggu hadapan.
Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata, barisan
kepimpinan utama gabungan itu bakal dihantar ke Jabatan Pertubuhan
Pendaftaran (RoS) dalam masa terdekat bagi tujuan pendaftaran.
"Pakatan Harapan akan mengumumkan selewat-lewatnya minggu depan barisan
kepimpinan utama untuk dihantar kepada pendaftar pertubuhan bagi tujuan
pendaftaran," katanya dalam sidang media di ibu pejabat Parti Pribumi
Bersatu Malaysia (PPBM) di sini hari ini.
Perkara itu sekaligus mengesahkan PH sudah mempunyai barisan kepimpinan
utama yang telah dipersetujui oleh keempat-empat parti komponen
gabungan tersebut.
Sementara itu Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir pada
sidang media yang sama menafikan struktur organisasi sebagaimana yang
tersebar sebelum ini.
Sebelum ini struktur PH memperlihatkan Tun Dr Mahathir Mohamed dilantik
sebagai pengerusi dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden
gabungan pembangkang itu, manakala Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya
dilantik sebagai penasihat.
Jelas Mukhriz lagi, format yang dicapai pada mesyuarat hari ini adalah jauh berbeza dengan struktur yang tersebar itu.
"Yang pertamanya senarai itu tidak dimunculkan atau didedahkan oleh
mana-mana wakil daripada PPBM, yang keduanya ini soal perundingan atau
perbincangan dalaman dalam PH tak sepatutnya didedahkan oleh mana-mana
pihak.
"Saya yakin yang kita ada struktur berbeza daripada yang asal seperti yang telah kami dibincangkan.
"Dan insyaAllah dalam masa seminggu lagi kita akan dapat kata sepakat," kata mantan Menteri Besar Kedah itu lagi.
Terdahulu, format senarai kepimpinan yang tersebar menunjukkan PPBM
telah menyenaraikan Mahathir dan Muhyiddin mengetuai PH masing-masing
sebagai Pengerusi dan Timbalan Pengerusi , manakala Ketua Umum PKR,
Datuk Seri Anwar Ibrahim sekadar menyandang jawatan sebagai penasihat
kepada dua tokoh tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan