Khamis, 1 Jun 2017

Muhyiddin ibarat boneka kerana PPBM terlalu dibayangi Tun M

Oleh Ainor Rahim
Post Pic
 
SHAH ALAM: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) terlalu dibayangi oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sekali gus memperlihatkan keberadaan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku pemegang tampuk kepimpinan parti, tidak begitu menonjol.
 
Ahli Majlis Tertinggi Umno (MT) Datuk Sohaimi Shahadan berkata, peranan Muhyiddin seolah-olah terpinggir sehingga menampakkan mantan Timbalan Perdana Menteri itu seperti boneka.
 
"Kalau kita lihat juga Tan Sri Muhyiddin sebelum ini sebagai Timbalan Perdana Menteri, dia juga seolah-olah terpinggir. Bila dia jadi Presiden PPBM ini dia harapkan ramai yang sokong dan keluar parti tidak berlaku. Dia harapkan dia boleh menjadi 'super power' itu tidak berlaku. Kerana Tun M sendiri membayangi PPBM ini.
 
"Yang kita lihat kalau sebenarnya dalam membuat keputusan parti itu biasanya biarlah kelompok majlis tertinggi ataupun ada kumpulan yang begitu kuat ataupun juga berterusan (constant).
 
"Tetapi dalam PPBM ini apa yang dikatakan oleh Tun Mahathir, itulah yang menjadi dasar dan diikut. Jadi seolah-olah Tan Sri Muhyiddin pun hanya menjadi boneka dan mengikut apa yang Tun Mahathir mahu dan arahkan," katanya dalam temu bual bersama Antarapos baru-baru ini.
 
Dalam pada itu, Sohaimi berkata, meskipun parti serpihan Umno itu hampir berusia lapan bulan, perjuangan politik serta hala tujunya masih kabur.
 
Beliau merujuk kepada perkembangan yang berlaku dalam parti itu kebelakangan ini, yang menyaksikan sebahagian ahli partinya bertindak keluar parti dan meletak jawatan, ekoran hilang kepercayaan terhadap pucuk kepimpinan.  
 
"Bukan PPBM yang sekarang ini kelam kabut. Baru ditubuhkan tidak sampai dua tahun tetapi huru hara. Macam-macam masalah dan isu melanda dan berlaku. Dan ini semua adalah atas kepentingan politik semata-mata.
 
"Jadi saya lihat PPBM bukan halangan yang besar kepada kita (Umno) kerana arah pun tidak begitu tentu arah dan kabur. Hanya semata-mata untuk merampas tampuk pemerintahan yang sekarang sedang didominasi oleh Umno-Barisan Nasional (BN)," tambahnya.
 
PPBM kini dilatari kemelut dalaman parti yang membawa kepada peletakan jawatan dan ahlinya bertindak keluar parti.
 
Awal April lalu, seorang pengasas PPBM, Kamarulazman Habibur Rahman mengisytiharkan keluar parti selepas kecewa dengan amalan 'kronisme' dan pilih kasih di dalam parti diteraju Dr Mahathir itu.
 
Beliau juga mengumumkan peletakan kesemua jawatannya di dalam parti, termasuk sebagai ahli majlis pemimpin tertinggi PPBM dan Setiausaha Kerja PPBM pusat.
 
Menyusul langkah Kamarulazman, baru-baru ini kira-kira 1,000 ahli termasuk pemimpin PPBM di Perak bertindak melakukan perkara yang sama akibat tidak berpuas hati dengan kepimpinan Muhyiddin.
 
Susulan itu, wujud desakan agar Muhyiddin meletakkan jawatan selepas berlaku kepincangan dalaman parti.
 
Naib Presiden PPBM, Datuk Hamidah Osman sebelum ini turut mengakui wujudnya kemelut dan pergolakan dalaman yang menjadi punca kepada tindakan sebilangan ahli parti meletak jawatan.

Tiada ulasan: