Khamis, 22 Jun 2017

Kutip derma anjur tahlil, khatam quran perbuatan bidaah, kata JAIPs

BERNAMA

Hazman Hassan


Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs) menegaskan perbuatan memungut sumbangan untuk menganjur program tahlil dan khatam quran untuk orang yang meninggal adalah perbuatan bidaah yang amat keji.

Pengarah JAIPs, Dr Hazman Hassan berkata JAIPs melarang keras amalan tersebut kerana terdapat unsur untuk memperdaya orang ramai dengan amalan yang mengeksploit ‘zikrullah’ dan ayat suci al-quran.

“Perbuatan ini juga sama seperti memperdagangkan pahala yang menyerupai amalan ‘sukuk al-ghufran’ (sijil keampunan) penganut agama Nasrani,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut beliau, fatwa melarang perbuatan itu dan mengutup wang penganjuran diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis Ke-11/2013.

Sehubungan itu beliau menasihatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan pihak yang membuat kutipan bagi menganjurkan program sebegitu.

Hazman berkata siasatan JAIPs mendapati wujud aktiviti mengutip sumbangan untuk mengadakan tahlil arwah di sebuah Sekolah Rendah Agama Rakyat di utara Perlis dengan penganjur turut mencetak brosur serta membuat hebahan melalui WhatsApp dan media Facebook.

“Pihak sekolah juga mengakui melaksanakan program itu dan JAIPs telah mengarahkan mereka supaya menghentikannya,” katanya dengan menambah perbuatan itu melanggar Fatwa Negeri Perlis yang menyalahi Seksyen 39 Enakmen Jenayah Dalam Syarak 1991.

Tiada ulasan: