Ahad, 4 Jun 2017

Farizal bunuh karier!

Farizal
Farizal
 

“SEJAHAT - jahat saya, tak pernah lagi saya tolak pengadil”. Demikian komen ringkas bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali apabila diminta mengulas mengenai insiden kad merah membabitkan penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT), Farizal Marlias pada perlawanan separuh akhir kedua Piala AFC Zon Asia Tenggara menentang Ceres Negros, tempoh hari, lapor MOHAMAD FAZRUL ABDUL MAJID.

Beliau menyifatkan tindakan Farizal sebagai kurang ajar dan tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang pemain bola sepak profesional.

Ujarnya, tindakan itu bukan hanya akan mengakibatkan Farizal dijatuhi hukuman berat seperti penggantungan dan denda, malah ia juga berpotensi membunuh kariernya.

"Sayang sekali, dia (Farizal) masih lagi muda dan tindakan ini mungkin akan beri kesan kepada karier bola sepaknya.

"Bagi saya, dia memang antara penjaga gol terbaik di negara kita, tetapi tindakannya itu tersangat memalukan, bukan hanya kepada pasukan JDT tetapi juga imej bola sepak negara.

"Sudah tertulis dalam undang-undang bola sepak walau sejauh mana kita tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil, pemain tidak boleh menyentuh pengadil, apatah lagi melakukan kekasaran," katanya.

Justeru, untuk menyelamatkan kariernya, Khalid meminta Farizal untuk membuat permohonan maaf secara terbuka kepada pihak terbabit sebelum hukuman dijatuhkan.

"Nak selamatkan dirinya mungkin ada satu cara sahaja iaitu membuat permohonan maaf kepada pengadil berkenaan dan juga Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

"Tidak kiralah sama ada permohonan maaf terbuka melalui video atau bertulis, mahu atau tidak dia kena melakukan semua ini sebelum hukuman dijatuhkan.

"Dia juga kena mengakui kesilapan yang telah dilakukan kerana terang-terangan menunjukkan dia telah melakukan kekasaran kepada pengadil berkenaan," katanya.

Kelmarin, media melaporkan Farizal bakal berdepan hukuman berat yang boleh menyebabkan beliau didenda dan digantung daripada bermain dalam saingan Piala AFC musim depan.

Lebih teruk lagi, Farizal turut bakal berdepan tindakan penggantungan daripada beraksi dalam Liga Malaysia (Liga-M) memandangkan kedudukan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang bernaung di bawah AFC.

Tiada ulasan: