ANTARAPOS.COM
SHAH ALAM: Tiga anggota Exco Selangor daripada PAS tidak akan keluar
daripada kerajaan negeri yang diterajui PKR selagi tidak menerima arahan
pucuk pimpinan tertinggi parti.
Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata
ketiga-tiga mereka termasuk dirinya juga akan menunggu keputusan
muktamar PAS bulan depan, sebelum memutuskan langkah seterusnya.
“Saya ikut arahan presiden parti sebab kita hanya ada satu presiden
sahaja… buat masa ini tiada arahan untuk itu, jadi kita bertugas seperti
biasa,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Selain Iskandar, 2 lagi anggota Exco kerajaan negeri daripada PAS ialah Zaidy Abdul Talib dan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi.
Hubungan PAS-PKR tegang susulan ada cadangan daripada beberapa PAS
kawasan yang menuntut pucuk pimpinan memutuskan kerjasama dengan PKR
selepas parti itu bertegas untuk menjalin kerjasama dengan Amanah dan
DAP.
Media sebelum ini melaporkan isu kerjasama politik antara kedua-dua
parti terbabit akan dibawa ke muktamar PAS pusat yang dijadualkan 27
April hingga 1 Mei ini.
Mengulas perkembangan lain, Iskandar berkata keputusan kerajaan
persekutuan untuk tidak membentangkan Rang Undang-undang Mahkamah
Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355 di Dewan
Rakyat tidak menjejaskan semangat parti itu untuk meneruskan
pembentangan RUU tersebut.
“Kita akan tetap teruskan… ini inisiatif kami, kita yakin ia tetap akan
dibentangkan oleh presiden parti (Datuk Seri Abdul Hadi Awang),” kata
naib presiden PAS itu.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Rabu lepas mengumumkan
kerajaan tidak akan membentangkan RUU 355 susulan mesyuarat Dewan
Tertinggi Barisan Nasional (BN) secara konsensus membuat keputusan
mengenai perkara itu.
RUU 355 itu diusul buat kali pertama di Dewan Rakyat pada Mei 2016 dan dibuat sekali lagi pada 24 Nov tahun lepas oleh Hadi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan