Selasa, 28 Mac 2017
Benarkan Guru Berpolitik, Selagi Tidak Melampau
Oleh USTAZ MOHD AZAM ABD SAMAD
PENGLIBATAN kalangan guru di dalam politik terutamanya parti bukan kerajaan tidak harus 'dimangsakan' atau dijadikan alasan oleh pihak kerajaan untuk mengambil tindakan sewenangnya.
Sebaliknya, penyertaan aktif dengan parti-parti politik berdaftar perlu dirai dan dihormati selaras hak perlembagaan dan amalan demokrasi yang subur serta adil, dengan harapan ia juga satu bentuk sumbangan kepada negara.
Demikian itu, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid tidak perlu mengeluarkan amaran bernada ugutan dan dilihat emosi, serta mengundang tindakan politik yang 'dihalalkan' atas nama pentadbiran.
Sebaliknya, kementerian perlu sentiasa membuat penilaian adil dan mengeluarkan garis jelas kepada para guru berhubung kebenaran yang pernah dikeluarkan dari pindaan Peraturan 21 (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
Sekiranya tidak, tindakan Mahdzir hanya dilihat langkah terdesak menjelang PRU14 yang bakal menjelang tidak lama lagi dengan cuba menakutkan atau menghukum guru terlibat.
Namun disokong dan harus dipastikan agar kedudukan di dalam politik kepartian tidak hingga mengabai tanggungjawab atau tugas asasi dalam perkhidmatan keguruan.
Juga tidak mengheret persekitaran dan masa pekerjaan menjadi medan atau mewujudkan kancah pertembungan politik. Jauh sekali terjebak dengan politik adu domba, fitnah dan perpecahan.
Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah yakin bahawa para guru sentiasa mengekalkan profesionalisme dan integriti perkhidmatan, serta sensitiviti etika dan disiplin yang tinggi kerana guru adalah 'tokoh' masyarakat yang sentiasa tinggi komitmen memberi khidmat bakti kepada masyarakat.
*USTAZ MOHD AZAM ABD SAMAD Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan