Ahad, 26 Mac 2017

Polis tahu suspek kes Jong Nam sembunyi di kedutaan Korea Utara

Ketua polis negara berkata “penyiasat” Korea Utara yang sibuk mencari maklumat di sini berbuat demikian tanpa kebenaran polis.


khalid


KUALA LUMPUR: Polis tahu 3 lelaki Korea Utara yang dikehendaki sedang bersembunyi di dalam Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur, kata ketua polis negara.

Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Bernama semalam berhubung video dirakamkan televisyen Jepun ANN menunjukkan Kim Uk Il, staf Air Koryo bermain snuker di dalam bangunan kedutaan di Jalan Batai, Damansara Heights, di sini.

“Tidak ada apa yang hendak diulas mengenai perkara itu. Kami tahu mereka ada di situ,” katanya berhubung Uk Il dan 2 lagi lelaki Korea Utara – Kwang Hyon Song dan Ri Ji U yang dikehendaki untuk soal siasat berkaitan pembunuhan Kim Jong Nam, abang sebapa kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un pada 13 Februari.

Ketika ditanya sama ada polis tahu Korea Utara menjalankan siasatan mereka terhadap pembunuhan itu di Kuala Lumpur, Khalid berkata aktiviti seumpama itu tidak sah tanpa kebenaran polis.

“Mereka tidak ada kuasa untuk melihat sebarang dokumen atau menyoal siasat orang. Sesiapa pun, bukan saja pengintip, tetapi pihak berkuasa sah dari mana-mana negara perlu mendapat kebenaran kita,” katanya di Bukit Aman hari ini pada majlis polis menerima kereta Kia baharu.

Awal hari ini, dilaporkan “penyiasat” Korea Utara sedang berlegar bertanya soalan mengenai rakyat Indonesia, Siti Aisyah, salah seorang daripada wanita warga asing yang didakwa atas kesalahan membunuh Jong Nam.

Khalid bagaimanapun berkata tidak salah jika pegawai Korea Utara hanya sekadar mendapatkan maklumat daripada orang ramai.

“Selagi mereka tidak masuk campur siasatan kita, itu sudah cukup baik. Tetapi, sebaik saja mereka melanggar undang-undang, mereka akan berdepan akibatnya,” katanya.

Pada 16 Mac, Interpol mengeluarkan notis merah untuk menangkap 4 suspek Korea Utara yang terlibat dalam pembunuhan Jong Nam.

Notis merah Interpol bermaksud usaha mencari dan menahan individu dikehendaki akan dilakukan suatu bidang kuasa kehakiman atau tribunal antarabangsa, dengan tujuan mengekstradisi.

Polis Malaysia sebelum ini memburu 8 lelaki Korea Utara bagi membantu siasatan kes pembunuhan Jong Nam, termasuk Setiausaha Kedua Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur, Hyon Kwang Song, 44; pekerja syarikat penerbangan Korea Utara Air Koryo, Kim Uk-il, 37, serta seorang individu bernama Ri Ji U.

Satu-satunya suspek Korea Utara, Ri Jong Chol yang direman pada 18 Februari lalu, dibebaskan kerana kekurangan bukti dan diusir dari negara ini pada 3 Mac lalu.

Empat lagi suspek dikatakan melarikan diri dari Malaysia pada hari kejadian dan kembali ke Pyongyang ialah Ri Ji Hyon, 33, Hong Song Hac, 34, O Jong Gil, 55, dan Ri Jae Nam, 57.

Jong Nam didakwa dibunuh 2 wanita asing yang menyapu mukanya dengan agen saraf VX, ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 untuk menaiki pesawat ke Macau.

Dua wanita warga asing – Siti Aisyah, 25, dari Indonesia dan Doan Thi Huong, 29, dari Vietnam didakwa di Mahkamah Majistret Sepang pada 1 Mac lalu atas pertuduhan membunuh Jong Nam.

Tiada ulasan: