Oleh Farhain Mazlan
SHAH ALAM: Amanah mendakwa penarikan diri kerajaan daripada
membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa
Jenayah) (Pindaan) 2016, adalah kegagalan Datuk Seri Najib Razak
menyatukan parti komponen Barisan Nasional (BN) dalam rancangannya untuk
mendapatkan sokongan orang Melayu.
Pengarah Komunikasinya, Khalid Samad berkata, ia adalah 'petanda'
bahawa Pengerusi BN itu sudah hilang keyakinan dan pengaruh di dalam
gabungan kerajaan itu.
"Saya menganggap barisan parti-parti anggota BN semua telah menolak
cadangan Datuk Seri Najib dan ini akan menyebabkan dia terpaksa menarik
balik cadangan dan rancangan yang asal untuk kerajaan untuk membawa usul
berkenaan.
"Ini mungkin satu pentanda yang Datuk Seri Najib telah hilang keyakinan
dan pengaruh di dalam BN itu sendiri dan itulah sebabnya strategi yang
telah ditetapkan beliau tidak berjaya,"katanya ketika dihubungi
Antarapos.
Ahli Parlimen Shah Alam itu malah berkata, PAS dan Umno-BN menggunakan
rang undang-undang tersebut sebagai permainan untuk mendapatkan
kepentingan politik masing-masing.
"Bagi dia (PAS) melihat ini sebagai satu kejayaan kerana PAS dan BN
sudah jangka yang RUU 355 tidak akan diluluskan tapi akhirnya paling
mereka dapat keuntungan politik dengan mainan yang sebegini," tambah
beliau.
Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak pada Rabu mengumumkan keputusan
konsensus BN, untuk tidak mengambilalih RUU bagi memperkasakan bidang
kuasa Mahkamah Syariah daripada PAS.
Justeru, PAS sendiri akan membentangnya di Parlimen dan perlu mengikut
giliran yang akan ditentukan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin
Mulia.
PAS menyifatkan keputusan kerajaan itu tidak memberi kesan terhadap usaha PAS yang mahu mencadangkan pindaan RUU 355.
Ketua Penerangan PAS, Nasruddin Hassan berkata parti itu tidak pernah
'lepas tangan' meskipun kerajaan sebelum ini mengumumkan mahu mengambil
alih membentangkan pindaan tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan