Dr Jomo Kwame Sundaram adalah pakar ekonomi di Institut Strategik dan Kajian Antarabangsa (ISIS).
Berikut soal-jawap yang dijalankan baru-baru ini.
Soalan: Apa ramalan ekonomi Dr Jomo di peringkat dunia dan nasional?
Jawapan: Keadaan ekonomi dunia terus muram. Ekonomi Barat, terutamanya di Eropah, enggan mengambil tindakan fiskal yang perlu untuk mencapai pemulihan, apa lagi pertumbuhan ekonomi yang berterusan.
Di Malaysia, kita masih tersangkut dalam keadaan kemelut setelah krisis kewangan Asia tahun 1997-1998.
Pasaran saham tidak mencerminkan keadaan ekonomi sebenar, apa lagi nasib rakyat jelata. Kenaikan harga minyak dan minyak kelapa sawit baru-baru ini banyak membantu ekonomi nasional, terutama sekali kedudukan kewangan kerajaan.
Dari segi nasib orang biasa, dua faktor membantu.
Pertama, pengenalan dasar gaji minima mulai awal tahun 2013, yang telah sedikit menaikkan pendapatan rakyat bawahan.
Kedua, bantuan rakyat BR1M yang menggantikan subsidi lain. Subsidi seperti subsidi petrol lebih banyak menguntungkan mereka yang lebih berada, sedangkan subsidi gula memberi kesan buruk dari segi kesihatan, seperti kencing manis, dan lain lain.
Malangnya, dari segi lain, rakyat jelata rugi.
Jumlah bantuan, termasuk BR1M, telah banyak kurang daripada RM40 bilion pada 2014 kepada RM25 bilion pada 2016, sedangkan cukai terhadap orang ramai telah meningkatkan hasil cukai jualan daripada RM17 bilion pada 2014 lebih dari dua kali ganda kepada hasil GST sebanyak RM39 bilion pada 2016!
Di samping itu, hasil cukai pendapatan peribadi tidak meningkat di mana separuh daripada pemilik kereta mewah Jerman (Mercedes, BMW, VW, Audi) langsung tidak membayar cukai pendapatan!
Ini bermakna subsidi telah banyak menurun walaupun sebahagian diagihkan melalui BR1M, bukan lagi subsidi lain.
Di samping itu, beban cukai terhadap orang ramai banyak meningkat, sedangkan cukai pendapatan peribadi makin menurun.
Sistem fiskal digunakan untuk meminda pendapatan daripada orang ramai kepada pihak berkuasa untuk projek mewah dan menutup penyelewengan 1MDB, dan lain-lain.
S: Dr Jomo dilaporkan meramalkan kemenangan BN dalam pilihanraya akan datang. Betulkah?
J: Saya tidak kata BN akan menang, tapi pembangkang akan kalah kalau lawan tiga penjuru. Soal kerjasama pembangkang menjadi masalah pokok.
Sebenarnya, kemarahan rakyat kian meningkat, dan mungkin BN tak dapat capai 40% dari jumlah undi, tapi dengan system pilihanraya yang ada sekarang, BN dan Datuk Seri Najib Razak akan dapat terus berkuasa.
S: Apakah sebabnya pembangkang tak dapat kerjasama?
J: Perselisihan utama ialah antara DAP dengan PAS. Sebenarnya, sewaktu Ustaz Fadzil Nor dan Tok Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat masih ada lagi, memang lebih mudah.
Di pihak lain pula, ada pemimpin DAP yang cuba menjaga hubungan itu, tetapi ada juga lain yang ‘naik tochang’.
Sewaktu Pakatan Rakyat, ketiga-tiga parti utama masing-masing menjaga kepentingan parti dan kadangkala tidak menghormati keputusan bersama.
Selepas pilihanraya lepas, DAP yang keluar dari Pakatan, bukan PAS. Tindakan itu telah menghancurkan kerjasama.
Kemudian, menjelang Muktamar PAS, pimpinan DAP jelas campurtangan hal dalaman PAS, dengan menyokong Mat Sabu dan menentang Haji Hadi, kononnya atas soal kerjasama pembangkang.
Kemudian, apabila Mat Sabu serta golongan yang dipinggirkan dalam PAS keluar menubuhkan Parti Amanah Negara (AMANAH), DAP jelas menyokong mereka.
Pemimpin Umno juga berjaya mengambil kesempatan dalam keadaan kucar-kacir ini untuk memastikan pihak pembangkang tidak bekerjasama. Media massa dan badan kerajaan tertentu turut main peranan.
Malah, pemimpin pembangkang menggunakan media yang dikuasai BN untuk kritik-mengkritik satu sama lain tanpa usaha mencari penyelesaiaan.
S: Apa ramalan Dr tentang keputusan pilihanraya akan datang?
J: Selain soal lawan tiga penjuru, ada beberapa perkembangan lain yang membantu BN.
Persempadanan semula, yang menukar kawasan mengundi, akan membantu BN sekali lagi. Di samping itu, selama ini, pembahagian kerusi sentiasa menguntungkan BN.
Sabah dan Sarawak mempunyai satu suku dari kerusi parlimen, walaupun peratusan rakyat sana jauh lebih kurang. Di samping itu, parti pembangkang dari Semenanjung kurang peka terhadap keluhan rakyat di situ, terutama sekali selain orang bandar di Sarawak.
Kalau pihak pembangkang tidak berjaya mengatasi perselisihan mereka, BN akan terus memerintah di peringkat persekutuan atau nasional. DAP dan PKR barangkali akan terus berkuasa di Pulau Pinang dan Selangor.
PAS pula sukar menang di Kelantan, Terengganu dan Kedah tanpa kerjasama dengan pembangkang lain walaupun tidak dapat dinafikan PAS lebih kuat di kebanyakan kawasan di negeri-negeri itu.
Malah, PAS mungkin tidak dapat memerintah di peringkat negeri lagi kecuali dengan restu Umno, yang akan mendalangi kerajaan negeri berkenaan walaupun dengan MB dari PAS.
Kalau demikian, ini akan menimbulkan semula masalah seperti di Kelantan pada tahun 1970an, yang akhirnya menjatuhkan kerajaan PAS di Kelantan dan menyebabkan PAS kembali kepada pihak pembangkang sebelum mengambil semula teraju negeri Kelantan pada tahun 1990.
Di kawasan Melayu lain, PAS akan menarik undi pembangkang Melayu/Muslim lain, seperti diharapkan BN.
Akibatnya, sukar bagi pembangkang maju, apa lagi menukar teraju negara walaupun majoriti orang Melayu tidak menyokong Umno dan BN lagi.
Ironisnya, akibat perselisihan di kalangan pembangkang Melayu, kedudukan kesemua mereka akan merosot walaupun kemarahan rakyat Melayu terhadap Umno-BN terus meningkat. Malah, cogankata Reformasi dulu jauh lebih relevan sekarang kerana korupsi, kronisme dan nepotisme berleluasa.
Kedudukan BN akan bertambah kuat walaupun sokongan undinya jauh lebih rendah.
PAS, PKR, BERSATU dan AMANAH semua akan menjadi makin lemah, dan mungkin beberapa parti akan hancur. DAP akan timbul semula sebagai pembangkang utama di Malaysia akibatnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan