Jumaat, 31 Mac 2017

Hutan Lipur Kuala Woh mendamaikan

DETIK DAILY

 

HUTAN Lipur Kuala Woh yang terletak di daerah Tapah, Perak bukanlah lokasi pelancongan yang baharu.Namun masih ramai yang belum tahu mengenai keindahan alamnya. Terletak di jalan lama dari Tapah- Cameron Highlands, hutan lipur ini sebenarnya di bawah seliaan Jabatan Perhutanan Negeri Perak.


Keunikan lokasi ini adalah pengunjung boleh mandi-mandi di kawasan jeram air terjun. Dalam masa yang sama dapat menikmati kolam air panas di situ. Sememangnya ia pengalaman yang sangat bermakna.

Menariknya juga di kawasan hutan lipur ini, kemudahan yang disediakan sangat membantu pengunjung yang datang. Kemudahan asas seperti pondok rehat, tandas, bilik persalinan, tapak perkhemahan, dewan terbuka dan chalet memudahkan orang ramai yang datang bersama ahli keluarga atau berkumpulan.

Apa yang membuatkan penulis kagum mengenai lokasi ini ketika mula-mula sampai adalah suasananya yang tenang dengan bunyi kicauan burung membuatkan hati tidak sabar untuk menjelajah ke kawasan tersebut.

Malah kawasan sekitarnya sangat bersih dan terjaga berbanding lokasi lain yang pernah dikunjungi sebelum ini. Tiada sampah di buang di merata-rata tempat dan pengunjung yang datang juga masing-masing faham mengenai aspek penjagaan kebersihan.

Papan tanda mengenai aspek kebersihan yang diletakkan di kawasan pondok rehat menjadikan orang ramai lebih berhati-hati bagi mengelakkan penyakit kencing tikus.

Jambatan gantung

Di kawasan jeram air terjun, pengunjung dapat melihat kehijauan pokok-pokok di sekelilingnya. Pokok yang ada dianggarkan lebih puluhan tahun dan berfungsi sebagai teduhan untuk mengelakkan cuaca panas terutama kepada orang ramai.

Walaupun tempatnya terbuka, penulis percaya pengunjung yang datang tidak terasa kehangatan cuaca panas biarpun pada waktu tengah hari.

Apa yang menarik perhatian penulis ketika berada di sana adalah jambatan gantung yang menghubungkan antara lokasi perkelahan ke galeri perhutanan.

Sambil melalui jambatan tersebut pengunjung boleh merakam  gambar kenangan di atas jambatan berlatarbelakangkan suasana di sekelilingnya.

Selain itu, buat pengetahuan ramai, jeram di sini bercampur dengan air panas semula jadi. Bagi yang ingin merasai kehangatan airnya boleh berendam di kawasan kolam air panas.

Kita boleh merasai kepanasan pasir di dasarnya.

Bagi yang mahu merasai kesejukan air, boleh memilih untuk berendam di kawasan bersebelahan kolam air panas sama ada di kira atau kanan sepanjang jeram.

Jadi kepada pengunjung yang mahu menghabiskan masa cuti hujung minggu atau cuti persekolahan boleh memilih lokasi ini sebagai salah satu destinasi percutian

Tiada ulasan: