ANTARAPOS.COM
KUALA TERENGGANU: Empat kawasan PAS di Terengganu yang telah selesai
mengadakan Mesyuarat Agung tahunan, sebulat suara meluluskan usul agar
parti itu memutuskan kerjasama politik atau tahaluf siyasi dengan PKR.
Pesuruhjaya Badan Perhubungan PAS negeri Satiful Bahri Mamat berkata
empat kawasan itu ialah Marang, Dungun, Kuala Terengganu dan Kuala
Nerus.
"Itu adalah suara di peringkat akar umbi. Mereka berhak mencadangkan
usul itu untuk perhatian pemimpin tertinggi parti pada Muktamar PAS
nanti, seterusnya keputusan akan dimuktamadkan oleh Majlis Syura.
"Bagi PAS Terengganu, kita buka ruang dan peluang seluas-luasnya untuk
akar umbi menyuarakan pendapat mereka pada mesyuarat agung tahunan...
seterusnya mengusulkan perkara itu ketika Muktamar PAS berlangsung di
Kota Sarang Semut, Kedah pada 28 April depan," katanya kepada pemberita
di luar persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di sini, Selasa.
Ditanya mengenai keputusan empat lagi kawasan iaitu Kemaman, Hulu
Terengganu, Besut dan Setiu, Satiful berkata keempat-empat kawasan itu
sudah selesai mengadakan mesyuarat agung sebelum isu tahaluf siyasi
dengan PKR kembali hangat diperkatakan.
Beliau berkata usul untuk memutuskan kerjasama politik dengan PKR
bukanlah sesuatu yang baru memandangkan usul itu pernah dikemukakan oleh
Dewan Muslimat PAS pada muktamar tahun lalu.
"Bagaimanapun, usul itu tidak mendapat respons ketika itu. Namun kali
ini mungkin ada reaksi sekiranya banyak kawasan yang sepakat untuk
membawa usul tersebut," katanya.
Ketika ditanya adakah PAS akan terjejas pada pilihan raya umum ke-14
akan datang sekiranya Majlis Syura bersetuju untuk memutuskan kerjasama
politik dengan PKR, Satiful berkata PAS Terengganu dijangka tidak
mempunyai masalah besar dalam hal itu.
"Terengganu tak ada masalah sangat, tapi tak tahu di negeri lain macam
Selangor. Tapi ini perkara yang berbeza kerana sekarang adalah hubungan
antara parti dengan parti, bukan PAS dalam kerajaan," katanya.
Pada Isnin, 12 daripada 13 kawasan PAS di Pulau Pinang turut meluluskan usul menamatkan tahaluf siyasi dengan PKR.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan