Oleh Abdul Rahman Malik
[ULASAN] Tun
Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin menubuhkan Parti Pribumi
Bersatu Malaysia (PPBM) dan berazam mahu menguburkan Umno kerana
bencikan presidennya, Datuk Seri Mohd Najib Razak.
Apa
pun terjadi pada Umno bukan jadi perkiraan lagi kerana sudah putus
kasih sayang dengan parti leluhur mereka itu. Maka dibangunkanlah PPBM
sebagai sebuah parti yang mempunyai benih Melayu-Islam seperti Umno.
Mereka yakin hanya parti bersifat dan bercirikan Umno boleh membenamkan
Umno. Lantas tiadalah dalam sifir mereka mahu menjadikan PPBM sebuah
parti nasional meliputi keahlian pelbagai kaum dan agama.
Didorong oleh nafsu mahu menurunkan Najib dan cepat pula menamatkan
sejarah Umno, PPBM berharap soal mendapatkan sokongan bukan Melayu dapat
diraih melalui wadah politik bukan Melayu sedia ada seperti DAP dan
PKR.
Sebab
itu, PPBM segera menggabungkan diri dengan perjuangan PKR yang ada
sebilangan ahli bukan Melayu dan DAP untuk merangsang rakyat bukan
Melayu yang bencikan Umno-BN supaya turut menyokong PPBM.
Bagaimanapun pengalaman 50 tahun DAP dan 18 tahun PKR berpolitik
mengajar mereka supaya tidak gopoh. Meskipun berkongsi kebencian
terhadap Umno, mereka berhati-hati melayan semangat PPBM mahu
menumbangkan Umno-BN.
Anehnya Tun Mahathir rupanya mudah mabuk dengan adab hormat yang
ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin pembangkang. Maka menjelmalah kembali
sikap “angkuh” lamanya yang membuatnya mabuk kuasa.
Lantas tanpa berfikir panjang beliau mengumumkan di London bahawa jika
pembangkang menang dalam pilihanraya umum ke-13, presiden PPBM, Tan Sri
Muhyiddin Yassin akan jadi perdana menteri.
Keyakinan
diri melampau ini memberi isyarat merah pada pemimpin-pemimpin
pembangkang lain terhadap “bahaya” Mahathir. Sekonyong-konyong timbul
persoalan, bolehkah Mahathir ini dipercayai?
Tun M perlu ukur kekuatan PPBM
Ego Mahathir mula digugah oleh DAP, PKR dan Amanah apabila angin
pilihanraya bertiup semakin kencang. Barulah PPBM sedar ukuran pengaruh
dan kekuatannya terletak pada berapa banyak kerusi yang bakal
dimenanginya.
Namun sebelum itu, yang lebih penting lagi ialah berapa banyak
kerusikah (Dewan Undangan Negeri dan Dewan Rakyat) yang patut dan boleh
ditandinginya.
Ini meletakkan PPBM di persimpangan. Modal kekuatan pengaruh yang ada
padanya ialah kemungkinan ahli Umno yang tidak selesa dengan
kepemimpinan Najib akan berhijrah menyertainya.
Bagaimanapun
Perhimpunan Agung Umno awal bulan ini mempamerkan bahawa penekanan
terhadap isu kesetiaan atau wala’ di kalangan ahli Umno terhadap
pemimpin amat semarak dibicarakan.
Malah perhimpunan berkenaan juga secara terbuka mengenalpasti bekas
ahli yang menuntut wala’ diberikan kepada mereka ketika memimpin Umno
kini mengkhianati ideologi itu dengan menghasut supaya menjatuhkan
presiden.
Apabila dikalungkan dengan jenama pengkhianat, pemimpin-pemimpin ini
bukan sahaja terputus nasab keturunannya dengan Umno malah mulai dicerca
dan dibenci sebagai musuh tegar.
Dalam keadaan demikian, DAP dan PKR tidak boleh membantu banyak pada
PPBM. Tanpa rekod pilihanraya, PPBM terpaksa berbaik dan berharap ihsan
PAS yang juga sebuah parti Melayu-Islam tegar.
Kerjasama dan simpati PAS akan mengizinkan PPBM menentukan berapa
kerusi yang ia boleh tandingi. Namun tidak semudah itu PAS dipujuk. Ia
tetap tidak mahu melepaskan semua kerusi tradisi yang pernah
ditandinginya.
Naib
Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad menegaskan: "Setakat ini
pendirian PAS adalah untuk tidak menyerahkan kerusi kami. Kami tidak
akan kacau kerusi parti lain."
Malah seorang lagi Naib Presiden PAS, Idris Ahmad berkata, isu
berkaitan rundingan kerusi di antara partinya dan PPBM perlu diperhalusi
terlebih dahulu oleh jawatankuasa tertinggi PAS.
"Parti belum lagi memutuskannya secara rasmi. Kita baru buat
penyelidikan... Cuma masa ini kita bersama mereka (PPBM) sudah sepentas.
Itu biasa. Kita (PAS) belum berbincang lagi mengenai itu," katanya.
PPBM sedar tak mudah PH beri laluan
Di peringkat ini Mahathir dan Muhyiddin tentu sedar bahawa bukan mudah
bagi PKR, DAP dan Amanah yang membentuk Pakatan Harapan (PH) mahu
memberi jalan kepada PPBM untuk memintas pengaruh mereka.
Pewaris
Pakatan Rakyat (PR) itu insaf betapa PH kini tidak sekuat pengaruh PR
suatu masa dahulu. Malah prestasi Amanah sebagai pengganti PAS masih
samar untuk melonjakkan pengaruh PH menyamai apatah lagi mengatasi PR.
PKR pula mula bertegas dengan PPBM apabila Naib Presidennya, Tian Chua
menyarankan PPBM memujuk sahaja PAS untuk mendapatkan kerusi bagi
membolehkan mereka bertanding pada pilihan raya umum (PRU) ke-14.
Tian Chua dilaporkan berkata, sasaran undi PPBM adalah di kalangan
pengundi Melayu, lantas ia harus meyakinkan PAS memberi laluan untuk ia
bertanding memandangkan kebanyakan kerusi berkenaan adalah milik tradisi
PAS.
Kata Tian yang juga Ahli Parlimen Batu, PH tidak akan memberikan kerusi
kepada PPBM walaupun mereka menandatangani perjanjian politik baru-baru
ini.
Yang lebih menggusarkan ialah ada laporan bahawa baik DAP mahupun PKR
‘tidak senang’ jika PPBM cuba meletakkan calon di Selangor dan Pulau
Pinang yang dianggap “wilayah” milik mereka.
Ruang dan peluang PPBM nampaknya semakin sempit untuk muncul sebagai
satu kuasa politik besar dan berpengaruh menjelang dan selepas PRU ke
14.
Harapan penuh PPBM kini adalah pada PAS. Sebab itu PPBM ‘tidak
berselera’ untuk menjadi ahli penuh PH yang kini dimaklumi masih
mencurigainya.
Sikap PAS bertentangan dengan pembangkang
Malang bagi PPBM, PAS pula masih agak liat untuk menyatakan pendirian
mahu bekerjasama dengannya hanya berdasarkan pada sebab “benci Najib”
sahaja.
Sebenarnya
PAS mempunyai banyak sebab untuk mencurigai PPBM. Selain sikap membenci
Najib yang agak bertentangan dengan akhlak dan ideologi politik
“matang-sejahtera”nya, ada episod sejarah yang mempengaruhi sikapnya
itu.
Ketika Mahathir di puncak kediktatorannya, Almarhum Presidenya, Datuk
Fadhil Nor ada meninggalkan kata-kata hikmat mengenai Mahathir yang kini
dirasakan amat jelas kebenarannya oleh ahli-ahli PAS.
Almarhum berkenaan menasihat ahli-ahli PAS jangan mendoakan
perkara-perkara buruk terhadap Mahathir kerana sifat “Maha Firaunnya”
ketika itu.
Sebaliknya beliau mengesyorkan mereka supaya mendoakan Mahathir panjang
umur dan sihat supaya “akan melihat sendiri kesan” semua kezaliman yang
telah dilakukan ketika berkuasa.
Kini Mahathir bak cacing kepanasan. Atas nama benci pada Najib beliau
cuba menyemarakkan semangat rakyat supaya menjatuhkan perdana menteri
yang pernah menjadi pilihannya itu.
Bagaimanapun Mahathir kini terpaksa berpaut pada ihsan PAS yang pernah
diremehkannya sebagai tidak arif soal sunnah Rasulullah s.a.w. yang
menyimpan misai dan janggut kerana pada zaman baginda tidak wujud
pencukur Gillete.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan