Sabtu, 17 Disember 2016

Amanah biang pecah perpaduan pembangkang?

Oleh Abdul Rahman Malik
Post Pic
 
 
[ULASAN] "Berapa lamakah PAS nak jadi pembangkang? Mesti mahu jadi kerajaan. Saya pun tak mahu lama-lama di sini jadi pembangkang,” kata Presiden Parti Pribumi Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
 
Penegasan itu dibuatnya bagi terus memujuk PAS supaya mengambil langkah pro-aktif menyertai pihak pembangkang termasuk PKR, PPBM dan mungkin juga DAP dan Amanah.
 
Muhyiddin mahu PAS faham bahawa satu-satunya cara menjayakan strategi pembangkang ‘satu lawan satu’ untuk menumbangkan Umno-Barisan Nasional ialah, perpaduan di kalangan pembangkang mestilah utuh. 
 
PPBM, khususnya, Muhyiddin, percaya anak kunci pada perpaduan pembangkang kini berada di tangan PAS. Sebab itu, PPBM keberatan menjadi kerabat Pakatan Harapan (PH).
 
Sebaliknya, PPBM meminda strategi daripada menjadi kerabat PH dan hanya kerjasama pilihanraya (electoral pact) sahaja dengan PH.
Ini demi menjaga hati PAS yang nampaknya amat serik untuk bekerjasama dengan DAP yang telah bertindak sendirian (unilateral) menendangnya keluar dari Pakatan Rakyat tahun lalu. 
 
PAS juga mempunyai pendirian tegas dan jelas bahawa ia tidak mahu bekerjasama dengan Parti Amanah Negara (Amanah) yang dibangunkan oleh bekas ahli PAS sendiri. Mereka ini dianggap pengkhianat parti. 
 
PAS perlu mengambil pendirian degil dalam syarat bekerjasama dengan PPBM dan PKR ini kerana DAP baginya mempunyai penyakit Islamofobia sementara Amanah harus ditangani bak mendidik anak-anak yang nakal. 
 
Betapa tidaknya. Dalam menyeru PAS supaya bekerjasama menjayakan kempen pembangkang, Amanah tidak segan silu mengumumkan mahu menumbangkan PAS di Kelantan.
 
Lebih memusykilkan ialah Pengarah Pilihanraya Amanah, Dr Hatta Ramli juga tidak sedikitpun ‘rasa bersalah mahupun kasihan’ apabila mengumumkan Amanah akan meletakkan calon di semua kerusi yang ditandingi PAS.
 
Adalah jelas di mata dunia bahawa politik Amanah ialah berasaskan dendam kesumat bak remaja yang baru akil baligh. Bagi Amanah ukuran penerimaan rakyat terhadapnya, ialah sejauh mana ia dapat melumpuhkan PAS.
 
Menubuhkan satu parti Islam baru adalah satu hal. Tetapi untuk menyerang hingga terus membunuh parti Islam yang pernah menjadi tempat menggilap kepemimpinan mereka ialah sesuatu yang mencurigakan. 
 
Justeru PPBM cuba menjarakkan diri daripada Amanah dan DAP kerana amat berharap jentera PAS dapat membantunya menerobosi kawasan-kawasan undi yang ramai pengundi Melayu-Islam. 
 
PAS hanya berdiam diri. Bukan seperti anak dara yang hanya tersipu apabila ditanya persetujuannya menerima pinangan orang. PAS bertegas dengan syarat tidak mahu ada Amanah atau DAP sebagai orang tengah.
 
Justeru Amanah nampaknya adalah satu unsur yang boleh membahayakan strategi pembangkang. Sesekali kali ia menggertak mahu hapuskan PAS di Kelantan, di kala ia mengancam menentang PAS di mana jua.
 
Amanah tahu, jika PAS kehilangan Kelantan, bererti ia hilang tiara kuasanya. Justeru gertakan Amanah mahu merebut kuasa di Kelantan sudah tentu menaikkan amarah PAS.
 
Begitu juga jika dengan cabarannya untuk berhadapan dengan PAS di semua kerusi ditandinginya. Ini smakin menjengkelkan PAS. Lantas, apalah ertinya bagi PAS mahu bekrjasama dengan rakan-rakan politik Amanah?
 
Amanah dilihat naif mahu mencabar PAS dan berharap parti itu sedia untuk bekerjasama dengan PKR dan PPBM menghadapi PRU 14. Politik Amana bak biang yang akan menggagalkan strategi ‘satu lawan satu’ pembangkang. 
 
Namun PPBM tetap mahu menyantuni PAS. Tindakan menjarakkan diri daripada Amanah membayangkan bahawa PPBM percaya bekerjasama dengan PAS lebih besar manfaatnya sebagai sekutu pilihanraya berbanding Amanah.
 
PPBM nampaknya yakin ia tiada banyak masalah dengan DAP kerana sasaran parti itu ialah pengundi bukan Melayu. Soal ia bertembung dengan DAP dalam pilihanraya umum ke-14 kelak adalah agak mustahil.
 
Begitu juga dengan PAS. Kemungkinan ia berhadapan dengan DAP pun tidaklah begitu besar walaupun Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menggertak akan mencabar DAP. Sasaran PAS masih pengundi Melayu-Islam.
 
Lantaran itu PPBM amat berharap PAS boleh mencarik undi Melayu-Islam dan sekaligus menundukkan Umno yang akan kehilangan undi ahli-ahlinya yang dipujuk oleh aura Tun Mahathir dan Muhyiddin.
 
Maka Muhyiddin cuba merangsang nafsu politik PAS dengan melontarkan pertanyaan sampai bila ia mahu berfungsi sebagai pembangkang. Lantaran beliau cuba menggiurkan nafsu politik PAS supaya menteladaninya.
 
"Saya nakkan kuasa yang boleh bentuk kerajaan. Yang saya boleh buat apa yang (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Razak tak boleh buat," kata Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh. 
 
Namun PPBM pun mungkin salah tingkah. Jika berlaku pertembungan tiga penjuru di antara Umno, PAS dan PPBM. Parti Muhyiddin juga berkemungkinan menjadi peracik pengundi Melayu-Islam dan mengizinkan PAS menang. 
 
Lebih menakutkan PPBM ialah, jika PAS tidak ghairah bekerjasama dengan pembangkang dan sebaliknya atas nama prinsip perpaduan Islam, ia membantu untuk meracik undi PPBM atau PKR. Ini mengizinkan Umno menang besar. 
 
Lantas PPBM (dan mungkin juga PKR) tiada pilihan selain “mengkasikan pengaruh PAS” dengan pelbagai label negatif supaya jika hati PAS berpaling kepada Umno demi solidariti kerajaan Islam Malaysia, kemenangan Umno masih mampu dibendung. 
 
Buat masa ini PAS amat dekat di hati PPBM dan PKR. Namun jika diperhalusi faktor penghalang terbesar bagi kedua-dua parti itu berjaya meminang PAS ialah Amanah.
 
 

Tiada ulasan: