Isnin, 10 Oktober 2016

Noh Nak Ajar Azmin Urus PPR

Oleh: ARIFFUDDIN ISHAK
 
 
Noh meninjau permasalahan penduduk di PPR Lembah Subang 2 ketika mengadakan lawatan kerja pada Isnin. -fotoBERNAMA
 
 
SUBANG: Kerajaan Selangor pimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali digesa menyerahkan kembali pengurusan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1 kerana didakwa tidak diselenggara dengan baik.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berkata, kementeriannya akan mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri berhubung isu berkenaan pada Selasa.

"Kerajaan negeri tolong kembalikan pengurusan PPR Lembah Subang 1 kepada pihak kementerian.

"Saya dimaklumkan bahawa rumah dan tanah adalah milik kerajaan Persekutuan, dari segi undang-undang itu ialah harta kami...harta kerajaan Persekutuan," katanya pada Isnin.

Beliau ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke PPR Lembah Subang 2 di sini.

Selain itu menurut Noh, sejak pengurusan PPR Lembah Subang 1 diserahkan kepada kerajaan Selangor beberapa tahun lalu, penduduk perumahan itu hidup serba daif terutama daripada aspek pengurusan lif dan pelupusan sampah.

"Cukup-cukuplah...sudah lebih lapan tahun memerintah, saya lihat kerajaan negeri tidak mengambil berat, tidak ambil peduli rakyat.

"Serah kepada kita,  biar kita ajar, kita nak sekolahkan kerajaan negeri bagaimana nak membela nasib orang miskin bandar.

"Jadi kerajaan negeri tolong serahkan dengan cara baik sebagai mana kami serahkan pengurusan dengan cara baik," katanya.

Tiada ulasan: