Oleh Wan Anis Ilyani Wan M Azhar & Shuhaniza Said
KUALA LUMPUR: Tindakan bekas naib presiden PAS, Datuk Husam Musa yang
berterusan menggunakan nama Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
bagi mempengaruhi ahli-ahli parti menyertai himpunan BERSIH 5 diselar
oleh anak tuan guru itu.
Nik Abduh Nik Abdul Aziz, yang juga Ketua Pemuda PAS mempersoalkan
Husam yang yang kini bersama Amanah, mengapa tidak kekal di dalam PAS
sebagaimana yang disuruh oleh bapanya suatu ketika itu.
"Yang kena ikut Tok Guru ialah beliau suruh kekal dengan PAS (tapi) tak ikut.
"Yang Bersih itu pada ketika itu atas arahan PAS, tok guru sebut atas
arahan PAS. Sekarang arahan PAS berbeza. Jika nak ikut yang sudah mati,
pakailah. Tetapi yang sudah mati pesan supaya kekal dengan PAS, tak mahu
ikut pula yang itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Dewan
Rakyat, petang tadi.
Serangan itu diberikan Nik Abduh selepas Husam tidak henti-henti
menggunakan nama bapanya dalam 'menghalalkan' penyertaan ahli-ahli PAS
untuk menyertai himpunan BERSIH 5 pada 19 November depan.
Untuk rekod, PAS tidak menyertai parti-parti politik pembangkang yang
lain dalam himpunan tersebut, tindakan yang sama dilakukan pada tahun
lalu.
Ini bukan kali pertama Husam menggunakan nama bekas mursyidul am PAS itu sebagai cara menyerang kepimpinan parti tersebut.
Perbalahan antara Husam dan Nik Abduh sebelum ini juga berkaitan
penggunaan nama bekas pemimpin PAS itu pernah terjadi ketika ADUN Salor
berkenaan mahu menyertai Amanah.
"Sesiapa pun boleh guna (nama), tapi kena bertanggungjawab. Apa yang
cakap, itu yang Tok Guru sebut. Jika orang faham Tok Guru, asas utama
ialah suruh kekal dengan perjuangan islam dengan PAS.
"Saya nak halang tak boleh, semua orang kata tok guru ini guru mereka," ujarnya lagi.
Sementara itu mengulas hal yang sama, Setiausaha Agung PAS Datuk
Takiyuddin Hassan, yakin sekiranya Nik Aziz masih hidup, sudah tentu
beliau menghalang parti itu untuk menyertai himpunan berkenaan.
"Mungkin kalau Nik Aziz ada sekarang, mungkin dia kata tak perlu (sertai Bersih). Saya boleh buat andaian begitu.
"Itu terpulang kepada dia (Husam) sebab saya rasa untuk dapatkan
kepastian pun tidak boleh. Memang dahulu kita sertai tetapi atas sebab
tertentu kita buat keputusan untuk tidak sertai," ujarnya Ahli Parlimen
Kota Bharu itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan