Seorang
waris kepada tiga beranak yang maut dalam kemalangan tahun lalu
mendakwa dua anak saudara hanya mendapat RM12,000 berbanding sumbangan
orang ramai yang terkumpul kira-kira RM300,000.
Yusnidah Hussain, 48, kakak kepada Allahyarham Fairuz Nizam, 35,
berkata, wang sebanyak itu diperolehi selepas dia membuat laporan polis
pada 22 Jun tahun lalu.
Beliau mendakwa, semua wang sumbangan orang ramai itu dimasukkan atas nama akaun bank peribadi dua adiknya yang lain.
"Saya sedih kerana wang yang sepatutnya menjadi hak dua anak
saudara saya tidak sampai ke tangan mereka untuk digunakan bagi
perbelanjaan sekolah dan harian demi masa depan.
"Alasan yang diberikan oleh adik-adik saya, wang itu hak mereka kerana akaun bank peribadi atas nama mereka.
"Mereka turut memberi alasan dengan menggunakan nama Mufti Wilayah Persekutuan bahawa wang itu sah milik mereka mengikut Islam.
"Padahal saya yang menjaga dua anak saudara saya selepas seminggu kematian ibu bapa mereka hingga ke hari ini.
"Namun disebabkan pertikaian wang sumbangan itu, hubungan kami
adik-beradik berpecah sehingga berlaku saman-menyaman dan kes kini
dibicarakan di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur," katanya di sini
hari ini.
Yusnidah mengadakan sidang media yang turut ditemani dua anak saudaranya, Nur Firuza Amira, 8, dan Nur Firuza Aqilah, 5.
Pada 2 Mei tahun lalu, Fairuz Nizam dan isterinya, Nova Safitri
Azhari, 25, serta bayi mereka, Nur Firuza Annisa terbunuh di Lebuhraya
Duta-Ulu Klang (DUKE) Kilometer 6.2 arah Ulu Klang ke Jalan Duta di sini
pukul 1.05 pagi.
Yusnidah yang memiliki tujuh anak dan dua anak angkat kini mendapat hak penjagaan sementara Amira dan Aqilah daripada mahkamah.
Anak keduanya telah meninggal dunia manakala menantu serta seorang cucu turut tinggal bersamanya.
Mengulas lanjut, Yusnidah yang terpaksa menutup bisnes restoran dan
kedai kek gara-gara konflik keluarga itu turut kesal kerana wang
pampasan insurans arwah adiknya itu telah dituntut oleh keluarga sebelah
isterinya.
Ini kerana jelasnya, satu sen wang pampasan itu tidak diberikan kepada dua anak saudaranya itu.
"Saya menjaga mereka siang malam dan melayan tangisan trauma pada waktu-waktu tertentu.
"Jangan kata hendak bertanya khabar, hantar buah atau makan pun tidak pernah.
"Tapi bila timbul isu wang sumbangan orang ramai dan pampasan insurans, mereka cepat ambil seolah-olah hak mereka.
"Kami sudah membuat laporan polis dan pihak polis tidak boleh ambik tindakan dengan alasan hal keluarga.
"Polis hanya boleh mengambil tindakan jika para penderma yang
pernah menderma tampil membuat laporan kerana berlaku telah berlaku
pecah amanah.
"Kami ada bukti penyata akaun bank peribadi yang menunjukkan jumlah yang diterima kira-kira RM300,000.
"Justeru kami mengalu-alukan orang ramai yang pernah menderma kepada Amira dan Aqilah tampil membuat laporan polis," katanya.
Nahas yang mendapat kecaman masyarakat mengakibatkan dua pemandu
kereta Perodua Myvi didakwa di Mahkamah Majistret Trafik atas tuduhan
memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian tiga beranak itu.
Pada 8 Mei tahun lalu, juruteknik komputer, Mohamad Fizal Reza
Jamauddin, 31, dan Penolong Pengurus restoran, Siti Noor Aini Mohd.
Said, 35, masing-masing mengaku tidak bersalah setelah pertuduhan
terhadap mereka dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa di hadapan
Majistret Noorul Fhaiez Mohd. Nayan.
Kedua-duanya didakwa memandu secara berbahaya kepada orang awam.
Dalam kejadian itu, Mohamad Fizal Reza yang juga bapa kepada dua
anak memandu kereta Myvi bernombor pendaftaran WXE 695 berwarna putih
manakala Siti Noor Aini yang merupakan ibu kepada seorang anak, memandu
kereta W 5192 F berwarna kuning.
Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta
Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun
dan denda maksimum RM20,000 jika sabit kesalahan. - MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan