Ahad, 2 Oktober 2016

Majlis Syura Ulama bincang pengganti Haron Din, 8 Oktober ini

Oleh Zeanaaima Md Yusuf
Post Pic
 
 
KEMAMAN: Majlis Syura Ulama PAS akan mengadakan mesyuarat 8 Oktober ini untuk memutuskan siapakah yang akan menggantikan Allahyarham Datuk Dr Haron Din, sebagai Mursyidul Am PAS.
 
Naib Presiden PAS, Idris Ahmad berkata buat masa ini, kerusi tersebut dipangku oleh Timbalan Mursyidul AM PAS, Datuk Ahmad Yakob.
 
"Kita ada pemangku dia. Nanti kita sahkan dia (Datuk Ahmad Yakob) dalam mesyuarat akan datang. 
 
"Mesyuaratnya 8 haribulan (Oktober) di Ibu Pejabat PAS," ujarnya pada sidang media selepas berucap di Himpunan Harapan Semua, PAS Ganti Umno (PGU) HARAP 3.4, di Kemensik, Kemaman, Terengganu, malam tadi. 
 
Ahmad sebelum ini menolak untuk mengambil alih jawatan tertinggi parti itu, dan mahu memberi laluan kepada individu yang lebih layak berbanding dirinya.
 
Kerusi itu kosong selepas Allahyarham Haron meninggal dunia pada 16 September lalu akibat komplikasi jantung, di Hospital Stanford, San Francisco, Amerika Syarikat.
 
Pemerhati politik berkata, Ahmad keberatan untuk menerima jawatan itu selepas dua penyandangnya, Allahyarham Haron dan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, meletakkan penanda aras yang tinggi untuk sesiapa sahaja yang akan menggantikan mereka kelak.
 
Selain jawatan timbalan mursyidul am, Ahmad juga menggalas tanggungjawab memimpin Kelantan, sebagai menteri besar negeri itu.
 
 

Tiada ulasan: