Isnin, 17 Oktober 2016

Hanipa kembali ke Parlimen bertemankan tongkat

DETIK DAILY



KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sepang Hanipa Maidin yang jatuh sakit ketika sesi perbahasan Dewan Rakyat April lalu hari ini kembali ke Parlimen dan menyatakan kesediaannya berdebat.

Peguam dan bekas pemimpin PAS yang lantang itu ketika ditemui wartawan di lobi Parlimen pada hari pertama sesi baharu Dewan Rakyat dilihat memegang sebatang tongkat bagi membantu pergerakannya.

“Saya lebih sihat… masih menjalankan fisioterapi tetapi bukan hari-hari,” katanya.

Beliau yang kini menyertai Amanah juga sempat bergurau akan menyertai perbahasan mana-mana akta baharu selagi ia datang daripada Barisan Nasional (BN).

Pada 4 April, sidang Dewan Rakyat ditangguh 15 minit selepas beliau rebah, beberapa minit selepas terlibat dalam perbahasan hangat dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin berhubung isu pindaan Akta Syarikat.

Beliau kemudian menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur kerana mengalami pendarahan otak.

Tiada ulasan: