KUALA LUMPUR: Keadaan beberapa negeri yang dilanda fenomena air pasang
besar sejak awal pagi ini rata-rata dilaporkan masih terkawal.
Walaupun limpahan air yang berlaku sejak awal pagi menyebabkan beberapa
keluarga terpaksa dipindahkan di beberapa tempat, namun keadaan setakat
ini tidak membimbangkan selain pihak berkuasa sentiasa bersiap siaga
bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
Di SELANGOR, sebanyak 321 orang daripada 75 keluarga ditempatkan di
tiga pusat pemindahan banjir berikutan fenomena itu yang berlaku mulai
pukul 3 pagi hingga 5.40 pagi ini.
Setiausaha Jawatankuasa Pengurusan Bencana Selangor, Kolonel Ahmad
Afandi Mohamad berkata tiga pusat pemindahan berkenaan adalah di Dewan
Serbaguna, Kampung Tok Muda, Kapar, dan Dewan Sungai Air Tawar serta
Dewan Parit Baru di Sabak Bernam.
Limpahan air turut berlaku di Pantai Batu 23 Sabak Bernam dan Kampung
Bagan, Sekinchan, namun keadaan tidak membimbangkan manakala ban pasir
di Batu 5, Jalan Kapar pecah menyebabkan berlaku limpahan air ke
daratan, namun situasi di sana turut terkawal.
Di PERAK, air pasang mula naik secara berperingkat di Kampung Bagan
Panchor, Pantai Remis mulai pukul 2.30 pagi menyebabkan ban yang dibina
pecah selain jalan utama dinaiki air sepanjang 300 meter.
Selain itu, 15 daripada 60 buah rumah di kawasan berkenaan turut
dinaiki air setinggi kira-kira 0.75 meter, namun tiada pemindahan
dilakukan dan air mula surut pukul 7.30 pagi ini.
Di Bagan Datoh, lima kawasan dinaiki air kira-kira pukul 4 pagi tadi,
namun tiada kediaman yang terjejas, kata Pengerusi Jawatankuasa Bencana
Daerah Bagan Datoh Datuk Hamzah Hussin.
Beliau berkata kawasan terjejas termasuk Bagan Ikan, Bagan Sungai
Burung, Bagan Sungai Tiang, Bagan Lipas dan Bagan Pasir Laut.
Di PULAU PINANG, tinjauan di Kampung Manis, Perai mendapati air mula naik separas 0.3 meter kira-kira pukul 1 pagi tadi.
Pengerusi Bertindak Masalah Banjir Kampung Manis Mohd Iqbal Kadir Ghani
berkata setakat ini, belum ada penduduk yang dipindahkan dan pihaknya
dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mengambil
langkah berjaga-jaga dengan membuat pemantauan berterusan.
Turut dilaporkan terjejas ialah Kampung Telok Ipil di Nibong Tebal yang
dinaiki air kira-kira 0.2 meter namun setakat ini tiada penduduk
dipindahkan kecuali jika keadaan air mencapai paras amaran 2.8 meter
pada tengah hari ini.
Di PERLIS, sebanyak 28 kawasan berisiko antaranya di Kampung (Kg) Pulau
Ketam, Kg Tengah, Kg Tandiap, Kg Seberang Alor, Kg Seberang Tok Pi dan
Kg Puju dijangka dilimpahi air laut di sepanjang persisiran pantai Kuala
Perlis mulai esok hingga Selasa ini.
Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Perlis Mej (PA) Mohd
Farid Ishak berkata air pasang tertinggi di pesisir pantai Kuala Perlis
ialah pada pukul 12.30 tengah malam tadi mencecah 3.3 meter manakala
ketinggian ombak dijangka melepasi 3.5 meter esok dan lusa yang melepasi
tembok penghadang dan boleh menyebabkan banjir kilat.
Di KEDAH, keadaan turut dilaporkan terkawal dengan Jabatan Bomba dan
Penyelamat Malaysia (JBPM) Tikam Batu masih belum menerima sebarang
panggilan kecemasan daripada penduduk di sekitar pantai sehingga 10 pagi
tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tikam Batu Mohd Razmi Abd Rashid
berkata namun, pihaknya menjalankan persediaan dengan mengadakan
simulasi dan rondaan di sekitar kampung yang berkemungkinan terjejas
sekiranya air pasang besar berlaku.
Katanya, 27 anggota ditempatkan di kawasan tersebut dengan dua bot dan sebuah jentera juga berada dalam keadaan siap sedia.
Di JOHOR, fenomena air pasang besar setakat pagi tadi turut menjejaskan
beberapa daerah termasuk Muar, Batu Pahat, Pontian, Johor Bahru, Kota
Tinggi dan Mersing.
Pegawai Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Mejar Nurrul
Azle Ab Jabar berkata walaupun keadaan masih terkawal, namun pemantauan
tetap ditingkatkan di beberapa lokasi berisiko bagi menghadapi sebarang
kemungkinan.
Peningkatan pemantauan itu melibatkan penambahan sebanyak 60 anggota
APM yang bertugas di kesemua daerah yang terjejas, katanya dalam
kenyataan hari ini.
Kawasan yang terlibat ialah pesisir pantai Johor Bahru dengan jangkaan
bacaan meter sehingga 3.9 meter, Tanjung Langsat (3.5 meter), Tanjung
Pelepas (3.5 meter), Pasir Gudang (3.5 meter), Pulau Pisang (3.5 meter),
pesisir Pantai Endau (3.4 meter), Sungai Belungkor (3.3 meter), Kuala
Batu Pahat (3.2 meter), Mersing (3.2 meter) dan Tanjung Sedili (3.0
meter).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan