Ahad, 16 Oktober 2016

Cadangan pembuli digantung sekolah setahun - Mahdzir

Oleh Bernama 
 
 
Mahdzir Khalid
Mahdzir Khalid


Kementerian Pendidikan bercadang untuk mengenakan hukuman gantung persekolahan selama setahun ke atas pelajar yang terlibat dalam kes buli serius.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pembuli yang digantung persekolahan itu juga akan menjalani kerja-kerja kebajikan atau dimasukkan ke pusat pemulihan akhlak dalam tempoh tertentu.

"Ini peringkat cadangan kementerian, namun sudah sampai masanya kita mengenakan tindakan tegas agar isu buli tidak berpanjangan.

"Saya berpendapat isu buli sudah semakin serius dan perlu kita bendung segera dan cadangan penggantungan sekolah adalah langkah terbaik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Kasihi Pekebun dan Penyampaian Bantuan Projek Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) serta Laman Kebun Risda Daerah Padang Terap hari ini.

Kata beliau, cadangan itu dibuat selepas menerima banyak tentangan daripada badan bukan kerajaan (NGO) yang tidak berpuas hati dengan hukuman buang sekolah.

"Hukuman ini baru di peringkat cadangan dan kita akan memberikan tempoh masa sebulan untuk mendapatkan reaksi berhubung perkara ini termasuk daripada komuniti. Jika cadangan diterima, kita mungkin akan melaksanakannya pada tahun hadapan," ujarnya.--BERNAMA


Tiada ulasan: