Isnin, 3 Oktober 2016

Bekas Adun keluar Umno, sertai Bersatu

Bekas Adun keluar Umno, sertai Bersatu
Ismail Abu Bakar sedang berucap dalam majlis petang tadi.


BALING - Bekas Adun Kupang, Datuk Ismail Abu Bakar membuat pengumuman keluar Umno bagi menyertai Parti  Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), petang tadi.

Pengisytiharan itu dibuat pada Majlis Pelancaran Parti Bersatu Bahagian Baling di Kampung Seberang Pekan di hadapan lebih 600 hadirin yang hadir.

Ismail Abu Bakar yang merupakan bekas Adun Kupang berkata, perjuangan Umno yang semakin tersasar menjadi penyebab utama keputusan itu dibuat.

"Saya dah fikir masak-masak untuk bersama Bersatu.

"Selama ini sudah 43 tahun dengan Umno, tetapi saya keluar sebab lihat perjuangan sudah tersasar,"katanya ketika ditemui selepas majlis.

Menurutnya, menyertai Bersatu juga bukan dipengaruhi oleh masalah dalam kalangan ahli Umno atau pentingkan jawatan dengan parti Bersatu.

"Selama ini tidak pernah dengar ada ahli Umno lain tidak suka saya.

"Kita dalam Bersatu juga tidak pentingkan jawatan, saya tidak ada jawatan dalam parti ini, tetapi jika diberi pun tidak ada masalah janji berjuang.

"Parti lama ini banyak membawa kepentingan kebendaan, tiada perubahan minda,"katanya yang juga bekas Ketua Umno Bahagian Baling.

Dalam pada itu, matlamat penubuhan Bersatu di Baling katanya bagi menukar ahli parlimen dan Barisan Nasional (BN).

"Dengan izin ALLAH kita akan bergandingan bahu dengan rakan-rakan lain bagi menewaskan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan BN," katanya.


Tiada ulasan: