Selasa, 5 Julai 2016

Kuih raya Sungai Besar dapat sambutan setiap kali raya

 
 
ABDUL RAHMAN menunjukkan kuih raya yang dijual di kedainya di Sungai Besar, Selangor.
ABDUL RAHMAN menunjukkan kuih raya yang dijual di kedainya di Sungai Besar, Selangor.


“Berniaga ada pasang surutnya terutama kuih muih untuk hidangan hari raya. Bila tiba musim raya, adalah rezeki tambahan.”

Ringkas permulaan bicara Abdul Rahman Ahmad, peniaga kuih dan kerepek antara yang cukup popular di Sungai Besar, Selangor, Berusia 50 tahun, ayah kepada empat cahayamata itu memberitahu perniagaan yang diusahakan adalah kesinambungan perniagaan keluarga sejak 20 tahun lalu. 

Bermula secara kecil-kecilan dengan sedikit modal yang diperoleh daripada pinjaman bank, kini perniagaan yang diusahakan telah mampu membayar gaji pekerja untuk mempelbagaikan kuih muih bagi memenuhi citarasa pelanggan.

“Bulan puasa sahaja saya buat lebih sedikit daripada hari-hari biasa kerana permintaan agak tinggi daripada ejen-ejen yang biasa membuat tempahan. Ada yang datang dari luar Sungai Besar untuk membuat tempahan kuih yang kebanyakannya adalah peniaga-peniaga kecil. 

"Saya jual pada harga rendah supaya agen-agen ini dapat menjual semula pada harga lebih sedikit tetapi menguntungkan,” katanya sambil menunjukkan beberapa jenis kuih yang telah sedia untuk dijual.


SAMPRIT DAHLIA antara kuih raya tradisional yang dibuat dan dijual di kedai Abdul Rahman di Sungai Besar, Selangor. 

Menurut Abdul Rahman, hampir semua kuih yang dijual adalah buatan sendiri yang dimasak di ruang khas di belakang rumahnya.

“Biasanya, kuih-muih yang saya buat cepat dibeli pelanggan dan boleh dikatakan semua yang ada di kedai ini adalah kuih yang baharu keluar dari dapur. Kuih-muih yang saya buat boleh bertahan selama tiga bulan daripada tarikh pengeluaran tetapi biasanya dalam tempoh tidak sampai sebulan semuanya habis dijual,” ujarnya.

Jelas Abdul Rahman, ada juga kedai yang menjual kuih-muih pada harga yang sangat rendah sehingga menjejaskan perniagaannya walaupun tidak banyak.

“Memang ada peniaga yang jual murah tetapi saya nasihatkan agar berhati-hati ketika membeli kerana setiap yang murah itu pasti ada kekurangannya. Saya bukan hendak memburukkan sesiapa kerana itu adalah rezeki masing-masing tetapi berhati-hatilah kalau membeli kuih-muih yang murah.

“Salah satu sebabnya, bahan yang digunakan untuk semua kuih adalah sama untuk menjimatkan kos dan rasanya tidak kelainan walaupun rupanya amat menarik,” katanya sambil tersenyum.

Bercakap tentang pinjaman, walaupun ada tawaran daripada pihak bank, Abdul Rahman merasakan keuntungan yang diperoleh selama ini sudah mencukupi.


MAKMUR, kuih tradisional yang mendapat sambutan pembeli. 

“Satu perkara yang saya sematkan dalam diri adalah menjauhi hutang. Cukuplah sekali saya buat pinjaman sebagai modal memulakan perniagaan. Saya tak suka berhutang sekiranya tiada keperluan. Bagi saya, apa yang saya dapat hari ini sudah memadai dan jika saya mahu besarkan perniagaan, Insya Allah saya sudah mampu membiayainya biar pun tidak sebanyak mana.

“Kumpul sedikit demi sedikit sampai cukup untuk membiayai kos penambahan perniagaan yang diperlukan dan buatlah ikut kemampuan kita,” jelasnya.

Bagi menambahkan koleksi kuih-muih yang dijual, Abdul Rahman turut menerima hasil pengeluaran penduduk setempat.

“Ada banyak juga yang saya tidak mampu buat, jadi saya mintalah penduduk yang membuat kuih-muih menjualnya di kedai saya. Satu perkara yang perlu saya beri perhatian adalah kualiti kuih muih yang dihantar penduduk kerana saya tidak boleh terima aduan daripada pembeli,” tegasnya.

Abdul Rahman juga tidak pernah meletak jenama pada kuih muih yang dibuat kerana mahu memberi peluang kepada ejen-ejennya untuk memberi jenama sendiri.

“Terserah kepada agen untuk letak jenama mereka sendiri dan saya tidak pernah bertanya kerana itu hak masing-masing. Apa yang penting, kuih muih saya ini habis terjual,” katanya.

Sehubungan itu kata Abdul Rahman, sesiapa yang berminat untuk membeli kuih muih yang dibuatnya, bolehlah menghubunginya terus di talian 012-626 6464 atau 017-646 4636.

“Kalau teringin nak rasa, datanglah ke Sungai Besar,” ujarnya.--MalaysiaGazette


Tiada ulasan: