Selasa, 3 November 2015

MP BN selar pembangkang samakan TPPA dengan GST

ANTARAPOS,COM


Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Tindakan seorang anggota Parlimen pembangkang yang cuba menyamakan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dengan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) hari ini disifatkan sebagai analogi 'orang tidak sekolah'.
 
Datuk Zainudin Ismail (BN-Jelebu) mendakwa anggota Parlimen itu, Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) 'cekap' membuat analogi seumpama itu.
 
Namun, kata Zainudin, jika pelaksanaan GST dikatakan sebagai langkah tidak bijak seperti yang sering didakwa pembangkang, bermakna lebih 160 negara yang mengamalkan sistem percukaian itu juga tidak bijak.
 
Bagaimanapun, katanya, pelaksanaan GST adalah 'hikmah', kerana ia telah dapat menampung kekurangan pendapatan negara akibat kejatuhan harga minyak dan komoditi di samping kemerosotan ekonomi dunia.
 
"Kita tak tahu harga minyak akan jatuh dan ketika GST dilaksanakan, berlaku kemerosotan ekonomi dunia, maka jadi rahmat kepada negara... masih dapat buat belanjawan yang baik untuk kesejahteraan rakyat, hasil daripada GST," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2016 pada persidangan Dewan Rakyat semalam.
 
Terdahulu, Zainudin memuji langkah kerajaan melaksanakan GST yang telah membantu menjana pendapatan negara walau berhadapan kemerosotan ekonomi dunia.
 
Mahfuz kemudian mencelah bertanya, jika Malaysia melaksanakan GST kerana 160 negara melaksanakan sistem percukaian itu, bagaimana dengan TPPA yang hanya melibatkan 12 negara.
 
Menjawab soalan Mahfuz, Zainudin berkata: Jangan samakan soal TPPA dengan cukai (GST).
 
TPPA memang 12 negara terlibat, tapi kalau 100 negara terlibat lagi baik. 
 
"Tapi walaupun hanya 12 negara terlibat, kita akan dapat akses 95 kali ganda lebih besar saiz pasaran dengan menyertai TPPA," katanya. 
 
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed baru-baru ini dilaporkan berkata rundingan TPPA telah selesai di Atlanta, Amerika Syarikat pada 5 Oktober lalu selepas lima tahun berunding.
 
Namun ia belum ditandatangani dan perlu dibincangkan di Parlimen terlebih dahulu.
 
Katanya, teks perjanjian itu dijangka diterima dalam tempoh terdekat dan dibahaskan di Parlimen seawal-awalnya Januari tahun depan.
 
Negara-negara yang menyertai rundingan TPPA ialah Brunei, Chile, Singapura, New Zealand, Amerika Syarikat, Australia, Peru, Vietnam, Mexico, Kanada dan Malaysia.
 
 

Tiada ulasan: