KUALA LUMPUR: Tindakan seorang anggota Parlimen pembangkang yang cuba
menyamakan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dengan
pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) hari ini disifatkan
sebagai analogi 'orang tidak sekolah'.
Datuk Zainudin Ismail (BN-Jelebu) mendakwa anggota Parlimen itu, Datuk
Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) 'cekap' membuat analogi seumpama itu.
Namun, kata Zainudin, jika pelaksanaan GST dikatakan sebagai langkah
tidak bijak seperti yang sering didakwa pembangkang, bermakna lebih 160
negara yang mengamalkan sistem percukaian itu juga tidak bijak.
Bagaimanapun, katanya, pelaksanaan GST adalah 'hikmah', kerana ia telah
dapat menampung kekurangan pendapatan negara akibat kejatuhan harga
minyak dan komoditi di samping kemerosotan ekonomi dunia.
"Kita tak tahu harga minyak akan jatuh dan ketika GST dilaksanakan,
berlaku kemerosotan ekonomi dunia, maka jadi rahmat kepada negara...
masih dapat buat belanjawan yang baik untuk kesejahteraan rakyat, hasil
daripada GST," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan
2016 pada persidangan Dewan Rakyat semalam.
Terdahulu, Zainudin memuji langkah kerajaan melaksanakan GST yang telah
membantu menjana pendapatan negara walau berhadapan kemerosotan ekonomi
dunia.
Mahfuz kemudian mencelah bertanya, jika Malaysia melaksanakan GST
kerana 160 negara melaksanakan sistem percukaian itu, bagaimana dengan
TPPA yang hanya melibatkan 12 negara.
Menjawab soalan Mahfuz, Zainudin berkata: Jangan samakan soal TPPA dengan cukai (GST).
TPPA memang 12 negara terlibat, tapi kalau 100 negara terlibat lagi baik.
"Tapi walaupun hanya 12 negara terlibat, kita akan dapat akses 95 kali
ganda lebih besar saiz pasaran dengan menyertai TPPA," katanya.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa
Mohamed baru-baru ini dilaporkan berkata rundingan TPPA telah selesai di
Atlanta, Amerika Syarikat pada 5 Oktober lalu selepas lima tahun
berunding.
Namun ia belum ditandatangani dan perlu dibincangkan di Parlimen terlebih dahulu.
Katanya, teks perjanjian itu dijangka diterima dalam tempoh terdekat
dan dibahaskan di Parlimen seawal-awalnya Januari tahun depan.
Negara-negara yang menyertai rundingan TPPA ialah Brunei, Chile,
Singapura, New Zealand, Amerika Syarikat, Australia, Peru, Vietnam,
Mexico, Kanada dan Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.