BERNAMA
Kenyataan dikeluarkan
Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad
berikutan mesyuarat Pra-Majlis Raja-raja yang diadakan di Istana Negara
hari ini.
KUALA LUMPUR, Raja-raja Melayu mahu kerajaan
menyelesaikan secepat mungkin siasatan berkaitan dengan 1Malaysia
Development Berhad (1MDB) dan mengambil tindakan tegas yang sewajarnya
terhadap pihak-pihak yang terlibat.
Dalam satu kenyataan, baginda sekalian
menegaskan semua pihak bertanggungjawab untuk memberi kerjasama yang
sebenar dan jujur agar usaha serta maksud siasatan tersebut berjaya.
“Penemuan siasatan ini hendaklah
dilaporkan secara lengkap dan telus supaya rakyat dapat diyakinkan akan
keikhlasan kerajaan yang sama sekali tidak akan melindungkan fakta dan
kebenaran,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan dikeluarkan Penyimpan Mohor
Besar Raja-raja, Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad berikutan mesyuarat
Pra-Majlis Raja-raja yang diadakan di Istana Negara hari ini.
“Kegagalan memberikan penjelasan dan jawapan yang meyakinkan, dikhuatiri telah mengakibatkan berlakunya krisis keyakinan.
“Akibatnya
rakyat percaya, sama ada dengan realiti mahupun secara persepsi, bahawa
ia turut menjadi antara sebab yang telah mempengaruhi kejatuhan nilai
mata wang Ringgit Malaysia secara mendadak, sehingga memberi impak
negatif ke atas pasaran kewangan dan iklim ekonomi negara dan sekali gus
telah menjejaskan pandangan dunia terhadap Malaysia,” kata kenyataan
itu.
Menurut kenyataan itu, Raja-raja Melayu
bimbang jika isu ini tidak ditangani secara bijak, apatah lagi jika
berlarutan dan memakan masa terlalu lama, ia berpotensi menjejaskan
keadaan ekonomi negara dan memudaratkan kehidupan rakyat jelata.
Ia juga dikhuatiri berkemungkinan pula menjejaskan ketenteraman awam serta keselamatan negara.
“Raja-raja Melayu dengan ini,
mengingatkan semua pemimpin agar pada setiap masa mendukung
prinsip-prinsip Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang
menurut yang termaktub di dalam Rukun Negara.
“Demi memastikan kerajaan mendapat
kepercayaan, pemimpin dihormati, kestabilan politik terus terjamin dan
ekonomi negara terus berkembang, semua pemimpin wajib pada setiap masa
memastikan keadilan dilaksanakan secara saksama lagi telus berpaksikan
undang-undang,” menurut kenyataan itu.
Untuk itu, menurut kenyataan itu,
badan-badan penguatkuasaan serta institusi-institusi kawal selia seperti
Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, Bank Negara,
Jabatan Peguam Negara dan Badan kehakiman, begitu juga badan-badan serta
institusi-institusi kerajaan yang berkaitan hendaklah menyempurnakan
amanah Ilahi dan kepercayaan rakyat secara telus, berkredibiliti dan
berintegriti.
Raja-raja juga mahukan para pemimpin
sentiasa mengutamakan faktor-faktor keselamatan, ketenteraman, keamanan
dan keharmonian serta meletakkan kepentingan negara dan rakyat mengatasi
kepentingan peribadi.
“Raja-raja Melayu memandang berat isu-isu
menyentuh kaum dan agama dan dengan ini mengingatkan para pemimpin
parti-parti politik dan badan-badan bukan kerajaan agar tidak
mensensasikan isu perkauman dan isu agama dalam hasrat meraih sokongan
rakyat terhadap parti atau pihak masing-masing,” menurut kenyataan itu
lagi.
Baginda sekalian mengingatkan hubungan
harmoni dan perpaduan antara kaum dan antara agama yang terjalin baik
selama hari ini telah berperanan penting sebagai tunggak utama kepada
kestabilan sebuah negara Malaysia yang merdeka, aman, maju dan makmur.
Oleh itu, hubungan harmoni dan perpaduan
rakyat wajib dipelihara pada setiap masa dan tidak boleh sama sekali
dikorbankan kerana matlamat politik yang cetek.
“Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja
Melayu ada tanggungjawab fardu kifayah untuk memastikan keamanan dan
kemakmuran negara dapat berlangsung dalam suasana politik yang stabil
dan rakyatnya hidup dalam harmoni,” kata kenyataan itu.
Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/10/06/selesaikan-siasatan-1mdb-segera-kata-raja-raja-melayu/#ixzz3nppenQls
Tiada ulasan:
Catat Ulasan