Sabtu, 24 Oktober 2015

EXCO P. Pinang sokong UiTM dibuka kepada bukan Bumiputera

 
Kegagalan melaksanakan cadangan itu bermakna UiTM tidak berlaku adil kerana mengutamakan pelajar luar negara berbanding rakyat Malaysia.


Afif-Bahardin,-Dr-Arshad,-UiTM,-bukan-Bumiputera


PETALING JAYA: Exco Kerajaan Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin menyokong supaya Universiti Teknologi Mara (UiTM) membuka pintu kepada golongan bukan Bumiputera mengikuti pengajian peringkat tertinggi.

Dia berkata, cadangan Pro-Canselor UiTM, Tan Sri Dr Arshad Ayub itu perlu dipandang serius.

Katanya, ia bukan sahaja dapat memberi banyak kebaikan kepada palajar sebaliknya mampu melonjakkan lagi kedudukan UiTM ke peringkat lebih tinggi.

“Bahkan di UiTM sendiri, sudah sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah melonggarkan syarat kemasukan pelajar ke universiti ini dengan membuka ruang kepada pelajar antarabangsa untuk meneruskan pengajian di universiti ini.

“Ia pastinya menjadikan UiTM bukan hanya sekadar sebagai benteng terakhir Bumiputera, tetapi menjadi medan membangunkan bangsa Malaysia yang berjaya, berdaya saing dan gemilang di peringkat global,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Timbalan Angkatan Muda Keadilan (AMK) itu berkata, kegagalan UiTM melaksanakan cadangan tersebut menunjukkan universiti itu tidak berlaku adil dengan mengutamakan pelajar luar negara berbanding rakyat Malaysia.

“Namun agak janggal jika pelajar dari negara luar dapat meneruskan pengajian di universiti ini tetapi pelajar tempatan tidak kerana mereka bukan berstatus Bumiputera. Ibaratnya, kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan,” katanya.

Tiada ulasan: